Nong Chik: Beri mandat semula kepada BN
Bernama
April 19, 2013 07:16 MYT
April 19, 2013 07:16 MYT
Calon Barisan Nasional (BN) Lembah Pantai Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin meminta pengundi parlimen berkenaan memberi semula mandat kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar itu berkata pengundi kawasan tersebut perlu berbuat demikian memandangkan BN adalah parti yang berjuang untuk pembangunan parlimen berkenaan sejak 25 tahun lepas.
"Apa yang ada pada hari ini adalah hasil usaha BN yang sejak dahulu mengubah kawasan ini daripada pelbagai masalah seperti banjir sehingga menjadi antara kawasan membangun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mini Terminal Sejahtera (Mints) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, Pantai Dalam di sini hari ini.
Raja Nong Chik berkata penduduk perlu menilai semula rekod BN semasa menerajui Parlimen tersebut dan menzahirkannya dalam kertas undi.
"Sejak empat tahun lepas, BN telah memperhebat usaha dalam memberikan keselesaan dan kesempurnaan kepada masyarakat di kawasan ini.
"Masih banyak lagi yang akan diusahakan oleh BN bagi memastikan kualiti hidup penduduk terus dipertingkat," katanya.
Beliau berkata kesungguhan BN dalam melaksanakan usaha tersebut juga terserlah melalui manifesto Wilayah Persekutuan untuk memastikan peningkatan kualiti hidup penduduk Wilayah Persekutuan secara menyeluruh.
"Dengan mandat yang diberikan, ia akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan Aku Janji yang telah dibentang semalam," katanya.
Sementara itu, Mints yang dirasmikan hari ini merupakan terminal pertama yang dibuka di kawasan PPR di Kuala Lumpur.
Raja Nong Chik berkata tujuh lagi terminal yang sama akan dibuka di PPR Cempaka, PPR Pantai Permai, PPR Kerinchi, PPR Pantai Ria, PPR Hiliran Ampang, PPR Ayer Panas dan PPR Desa Tun Razak.
Terminal khusus yang disediakan untuk pelajar mengulang kaji pelajaran, membaca dan mentelaah serta membuat kerja sekolah ini, dibuka dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Setakat ini kira-kira 30 buah Mints telah dibuka di seluruh negara.