Nazri: Media sosial sesuai di bandar

Hasbullah Awang Chik
April 2, 2013 07:20 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyatakan kempen menerusi media sosial hanya sesuai bagi penduduk bandar dan bukan sebaliknya.
Beliau menjawab soalan dari salah seorang peserta Latihan Komunikasi dan Pendekatan Awam yang dihadiri oleh golongan belia di parlimen hari ini.
"90 peratus warga desa lebih gemar kepada wakil rakyat yang cakna kepada masalah rakyat berbanding mereka yang hebat berdebat di parlimen," menurut Nazri.
Nazri turut memberitahu trend warga desa kini lebih berminat kepada wakil rakyat yang cenderung mendengar masalah mereka seperti longkang tersumbat atau pun hadir ke majlis rakyat seperti sambutan Tahun Baru Cina, Pesta Ponggal, Deepavali dan sebagainya.
Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal parlimen itu berucap di hadapan kira-kira 40 belia yang hadir sejak jam 12 tengahari.
Menjawab soalan peserta berhubung kepercayaan masyarakat terhadap media sosial, Nazri menjelaskan bahawa golongan mahasiswa paling terkesan dengan medium tersebut dan itu adalah perkara biasa di kalangan orang muda.
"Biarpun mahasiswa mudah terpengaruh dengan medium itu, namun masih ramai lagi yang tidak mudah terpedaya dengan dakyah yang disampaikan melalui media itu," tambah Nazri.
#bandar #Belia #berdebat #media sosial #Nazri Aziz #Parlimen #wakil rakyat
;