Nasharuddin tuntut DAP jelaskan pendirian

Astro Awani
April 6, 2013 16:14 MYT
Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa menggesa DAP menjelaskan pendirian dan sikapnya berhubung beberapa isu berkaitan agama Islam dan dasar perjuangan Pas jika ia mahu menggunakan simbol parti Islam itu dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.
Nasharuddin berkata, kesediaan dua pemimpin kanan DAP, Karpal Singh dan Lim Kit Siang menggunakan simbol Pas sekiranya DAP dikenakan tindakan oleh Pendaftar Pertubuhan menimbulkan persoalan apakah DAP sudah menerima dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS.
"Setiap ahli Pas berhak mendapat penjelasan apakah kedua-dua wakil pemimpin utama DAP itu sudah menerima semua dasar dan prinsip perjuangan Pas," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini, pada Sabtu.
Jelas Nasharuddin, Karpal dan Kit Siang perlu memberikan komitmen yang jelas dan bertanggungjawab menjelaskan kedudukan itu bukan saja kepada ahli Pas tetapi rakyat Malaysia seluruhnya.
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub baru-baru ini menawarkan kepada DAP untuk menggunakan simbol Pas dalam PRU-13 nanti sekiranya parti itu dibatalkan pendaftarannya kerana masalah semasa pemilihan parti hujung tahun lalu.
Jelas Salahuddin, tawaran itu dibuat atas semangat persaudaraan dan katanya, jika Pas sendiri berdepan masalah sama, beliau percaya DAP juga akan melakukan perkara yang sama.
ROS menyiasat DAP atas apa yang didakwa oleh parti itu sebagai "kesilapan teknikal" yang berlaku semasa pengiraan undi pemilihan Ahli Jawatankuasa Pusatnya (CEC) pada 15 Disember lalu.
"Kesilapan teknikal" itu membawa kepada penyertaan Zairil Khir Johari ke dalam CEC tiga minggu selepas pemilihan.
Sekumpulan ahli DAP kemudian tidak berpuas hati dengan keputusan itu dan mendesak satu pemilihan baru, serta membuat laporan kepada ROS.
Salahuddin membuat kenyataan itu selepas Karpal yang juga Pengerusi DAP membayangkan calon DAP mungkin tiada pilihan selain bertanding sama ada menggunakan simbol Parti Keadilan Rakyat atau Pas.
Kit Siang yang juga penasihat DAP turut menyatakan kesediaan bertanding dengan tiket Pas untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat.
Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib juga tidak melihat perkara itu sebagai satu masalah sebaliknya berkata, DAP perlu membuat permohonan rasmi kepada Pas terlebih dulu.
Menurut Nasharuddin, soal simbol, lambang atau logo adalah perkara yang penting dalam sesebuah organisasi kerana ia mewakili hasrat dan isi sebenar organisasi berkenaan.
Semua dasar dan perjuangan Pas itu pula, katanya, telah ditetapkan oleh Majlis Syura Ulama Pas yang pemegang amanah dan dasar parti itu Islam itu.
#DAP #Nasharuddin #PAS #PRU-13
;