Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keyakinan masyarakat India terhadap beliau dan Barisan Nasional (BN) terus meningkat dan akan diterjemahkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Beliau berkata setiap langkah yang diambil untuk menyelesaikan masalah kaum India di negara ini sejak beliau mengambil alih pucuk pimpinan negara, telah membawa hasil yang baik serta diterima kaum itu.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata agenda pembangunan berterusan kerajaan khusus untuk masyarakat India meliputi politik, sosial dan ekonomi ternyata mengembalikan kepercayaan dan keyakinan kaum ketiga terbesar di negara ini terhadap BN dan ia sesuatu yang boleh dibanggakan.

"Usaha ini menunjukkan hasil yang kita boleh banggakan. Hari ini bertambah lagi "Nambikkai" (keyakinan) masyarakat India kepada BN. Kita telah melakukan banyak usaha dan perubahan kepada semua kaum termasuk kepada kaum India.

"Semenjak pilihan raya yang dulu (2008) saya telah mempengerusikan jawatankuasa kabinet mengenai hal ehwal kaum India. Saya telah memulakan pelbagai program untuk membantu masyarakat kaum India," katanya pada majlis perasmian Bangunan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Bestari Jaya, di sini hari ini.

Katanya tidak ada pihak yang boleh mempertikai komitmen dan perjuangan kerajaan BN dalam membela nasib dan masa depan kaum India.

"Kita sudah sediakan satu buku berwarnawarni yang menghuraikan dengan panjang lebar apa yang kita telah lakukan untuk masyarakat kaum India. Ini merupakan satu rangka tindakan yang amat jelas di mana keyakinan masyarakat India terus bertambah.

"MIC yakin dengan kita (BN) partiparti lain seperti PPP, IPF dan rakan-rakan BN yang mesra juga yakin. Yang terbaharu, Hindraf pun yakin dengan BN. Kenapa mereka yakin pada BN, sebab dua perkara besar.
"Satu, sebab kita (BN) telah buat banyak perkara untuk membantu masyarakat India. Kedua, kerana pakatan pembangkang gagal menolong masyarakat India," katanya disambut tepukan gemuruh daripada lebih 3,000 orang yang menghadiri majlis itu.

Najib berkata BN berasa bangga menyenaraikan segala agenda pembangunan untuk masayarakat India selama ini secara panjang lebar, tetapi pakatan pembangkang tidak boleh berbuat demikian kerana sumbangan mereka begitu kecil.

Pada majlis itu Najib turut mengumumkan akan membantu sekolah itu membina sebuah dewan serbaguna di dalam kawasan sekolah itu.