Najib ulangi amanat jangan sabotaj calon BN
Ashwad Ismail
April 10, 2013 17:14 MYT
April 10, 2013 17:14 MYT
Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi mengingatkan ahli parti komponen dan penyokong Barisan Nasional supaya memastikan kemenangan calon parti itu dalam pilihan raya umum nanti.
Mesej itu beliau tekankan dalam pertemuan tertutupnya dengan penyandang kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri BN serta ketua bahagian parti komponen hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Kepala Batas, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang ditemui selepas pertemuan itu berkata, ia satu mesej penting yang harus dipatuhi oleh semua penyokong BN untuk mengelak tindakan sabotaj pada 2008 berulang.
"Kita melihat nasihat Najib sebagai satu amanat penting dalam usaha BN menang dengan lebih besar kali ini. Saya pasti Najib sangat memahami apa yang berlaku dahulu," kata Abdullah.
Dalam sidang medianya selepas pertemuan itu, Najib menjelaskan bahawa beliau telah mengingatkan pemimpin BN yang hadir bahawa apa yang perlu diberikan perhatian bukanlah semata-mata soal terpilih untuk jadi calon, sebaliknya memastikan BN dapat membentuk kerajaan yang kuat di peringkat persekutuan dan negeri.
Beliau juga mengingatkan mereka bahawa proses pemilihan caloan adalah sesuatu yang kompleks dan tidak mungkin dapat memenuhi kehendak semua pihak.
Sementara itu, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M Kayveas berkata, pemilihan calon BN kali ini dilakukan dengan hati-hati bagi mengelak sebarang usaha sabotaj.
"Kita tahu, perkara seperti sabotaj ini kita tidak boleh elak tetapi yang paling penting semua ahli BN faham, kali ini kita perlu menang," katanya.
Dalam pada itu, beberapa pemimpin akar umbi yakin masalah pada 2008 tidak akan berulang.
"Kita di Kedah, saya yakin sabotaj dapat dikurangkan seminima mungkin. Dengan itu saya percaya, Kedah mampu dirampas semula oleh BN," ujar Bendahari Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Osman Aziz.
Tempoh kempen 15 hari
Dalam pada itu, rata-rata pemimpin BN yang ditemui menyifatkan tempoh kempen 15 hari yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai cerminan tahap demokrasi yang sihat di negara ini.
Ini kerana, keputusan SPR itu selaras dengan intipati pembaharuan proses pilihan raya yang menggariskan tempoh kempen melebihi 10 hari.
"Tempoh kempen yang panjang ini kalau pembangkang cakap tidak cukup masa lagi, saya anggap itu sebagai tidak patut," kata Presiden MCA Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek.
Namun, bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Md Isa Sabu pula kurang bersetuju dengan tempoh kempen yang dilihatnya sangat lama.
"Tempoh kempen itu bagi saya macam agak panjang," kata penyandang kerusi DUN Bintong itu.
Pertemuan tertutup BN hari ini berlangsung selama dua jam setengah yang mana menjadi medan setiap pemimpin bahagian memperkemaskan jentera selain menggariskan strategi kempen lebih agresif untuk PRU-13.