Najib: Politik perkauman DAP gugat keamanan Malaysia
Astro Awani
Mei 3, 2013 07:00 MYT
Mei 3, 2013 07:00 MYT
Sentimen perkauman yang dimainkan DAP pada pilihan raya umum ke-13 boleh menggugat keamanan dan keharmonian negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat.
“Kita tengok penilaian kita daripada sokongan pengundi Cina, ia berbeza mengikut tempat dan wilayah. Ada setengah wilayah itu, saya puas hati dengan sokongan mereka,” Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata ketika ditemu bual oleh TV3 dalam program "Mandat 2013" malam tadi.
"Ada setengah tempat, kita perlu berusaha lagi sebab mereka telah termakan dengan hasutan parti pembangkang khususnya DAP yang selalu menimbulkan soal sentimen seolah-olah di bawah BN, kita tidak memberi hak yang sewajarnya kepada orang Cina dan sebagainya," katanya.
"Politik seperti ini berbahaya kerana ini akan membuatkan politik Malaysia lebih polarised. Polarisasi politik Malaysia ini amat serius sebab kita telah sedaya upaya cuba untuk mewujudkan suasana yang aman dan harmoni dalam negara kita, itu pendirian BN.
"Tetapi jika kita main soal sentimen ini, kita akan menimbulkan keadaan yang sungguh tidak sihat, perbalahan politik seperti ini akan merosakkan keharmonian negara kita," tegasnya.
Najib menarik perhatian DAP bukanlah parti bersifat 'multiracial' atau pelbagai kaum seperti yang diuar-uarkan, dan rakyat sendiri telah melihat pemilihan anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang dipertikai anggota parti sendiri.
"Ini cukup serius.. menafikan lebih 700 anggota mereka daripada menghadiri persidangan, mereka tidak memilih pemimpin Melayu seorang pun. Jadi, mereka bukan parti 'multiracial', dan jika letak satu atau dua calon Melayu juga bukan menjadikan parti itu parti multiracial," katanya.
Beliau berkata hakikatnya yang benar-benar parti bersifat 'multiracial' ialah BN sebab parti itu bergabung daripada pelbagai parti komponen lain dan mengamalkan sikap tolak ansur, mencapai kata sepakat serta dasar yang mengambil kira pandangan semua kaum.
"Sebab itu, kita boleh 'appeal' (menarik) kepada semua kaum dan DAP hanya 'appeal' kepada orang Cina sahaja. Itu sentimen mereka, DAP tak boleh 'appeal' kepada orang bukan Cina, malah orang India sudah mempertikaikan DAP," katanya.
Najib mengakui bahawa masyarakat Cina bekerja keras, mempunyai kepintaran sebagai usahawan dan tahu untuk menjana kekayaan.
Bagaimanapun, katanya, mereka berjaya bersandarkan kepada dasar-dasar kerajaan BN dapat mewujudkan persekitaran kondusif untuk perniagaan.
Najib berkata dalam konteks pendidikan, Malaysia merupakan antara negara paling liberal kerana memberi peluang kepada rakyat untuk memilih jenis pendidikan yang dikehendaki untuk anak mereka.
Najib berkata kaum India pula kini semakin yakin dengan BN selepas kerajaan melaksanakan pelbagai program bagi membantu komuniti itu termasuk mewujudkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Hal Ehwal Masyarakat India hampir lima tahun lepas.
"Hampir lima tahun kita buat program itu, saya gunakan perkataan 'nambikei' iaitu keyakinan, saya percaya hari ini masyarakat India sudah ada nambikei dengan BN," katanya.