Mustafa enggan komen; polis nafi tahan ahli AMK
Teoh El Sen
April 12, 2013 12:48 MYT
April 12, 2013 12:48 MYT
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali tidak akan melayan isu pendedahan rakaman cakera padat video lucah yang didakwa melibatkan seorang individu mirip beliau bersama seorang wanita yang tidak dikenali yang diedar di sekitar Besut, Terengganu, pada Khamis.
Katanya, beliau telah menyerahkan perkara itu kepada peguamnya untuk mengambil tindakan lanjut.
"Saya tidak akan menjawab sebarang pertanyaan mengenai isu yang diperkatakan. Saya telah serahkan kepada peguam saya melalui Awi & Co. untuk uruskan," kata Mustafa dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Mustafa sebelum itu, pada awal pagi, dalam satu mesej SMS kepada Astro Awani sebagai membalas pertanyaan wartawan cuma menjawab: "Tidak perlu komen."
Polis Terengganu pada Rabu merampas 16 keping DVD berkenaan yang ditemui diedar oleh beberapa lelaki yang tidak dikenali di sekitar Besut kira-kira pukul 7.40 pagi. DVD itu dimasukkan dalam 16 sampul surat putih bersama sekeping foto lucah.
Sementara itu, polis sedang menyiasat dalang pengedaran video lucah itu mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan atas jenayah mengedar bahan lucah.
Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam), ACP Ramli Mohd. Yusof mengesahkan polis sudah menerima laporan mengenai pengedaran video lucah itu.
"Polis telah membuat penelitian dan sekarang sedang menyiasat," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Beliau tidak menolak kemungkinan akan bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam siasatan tersebut.
Rakaman lucah itu tersebar di beberapa laman blog pro-UMNO sejak lewat petang semalam.
Sementara itu, Naib Presiden Pas, Husam Musa berkata, rakaman video itu palsu dan ia tidak perlu disiasat oleh parti Islam itu.
"Jika mereka boleh buat video Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka boleh buat video melibatkan sesiapa sahaja," katanya seperti dipetik oleh laman web berita, Malaysiakini.
Sementara itu, di KUALA TERENGGANU, polis Terengganu menafikan dua individu yang didakwa anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) ditahan berhubung penyebaran DVD lucah yang dipercayai membabitkan seorang pemimpin kanan parti pembangkang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata sehingga kini masih belum ada tangkapan dibuat berhubung kes itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Katanya dakwaan yang dikeluarkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab itu adalah tidak benar dan sehingga kini pihaknya masih mengesan individu yang terlibat dalam pengedaran DVD terbabit.
"Ya, kami mengesahkan telah merampas 16 keping DVD yang kononnya dikatanya mirip seorang pemimpin kanan parti pembangkang di Besut semalam.
"Pihak kami masih menjalankan sisatan berhubung penyebaran video berkenaan di Besut dan sehingga kini kami belum menahan mana-mana individu bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Manoharan turut memberi amaran keras kepada individu yang menyebarkan khabar angin agar segera menghentikannya.