Mukhriz Mahathir angkat sumpah MB Kedah baru

Aizat Sharif
Mei 6, 2013 09:08 MYT
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang baru di Istana Anak Bukit pada jam 3:30 petang tadi.
Pada Pilihan Raya Umum ke -13 (PRU-13) Mukhriz menewaskan penyandang kerusi DUN Ayer Hitam, Abdul Ghani Ahmad dari PAS dengan majoriti 2,446 undi.
Datuk Mukhriz Mahathir dilahirkan pada November 1964, merupakan anak lelaki ketiga kepada mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed dan Tun Dr Siti Hasmah.
Mukhriz sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Selain itu, beliau juga memegang berbagai jawatan dalam beberapa buah syarikat dan organisasi, seperti Opcom Holdings Bhd, Kosmo Tech, Malaysian Franchise Association dan Perdana Peace Global Organisation.
Mukhriz berkahwin kepada Datin Paduka Norzieta Zakaria dan dikurniakan empat cahaya mata.
Pada 2004, beliau telah memenangi Exco Pemuda UMNO dengan meraih jumlah undian tertinggi dan dilantik memegang jawatan tersebut. Beliau juga telah dilihat sebagai seorang calon yang berpotensi untuk menjadi Timbalan Ketua Pemuda UMNO, tetapi beliau kemudiannya menarik diri.
Pada pilihan raya tahun 2008, Mukhriz telah memenangi kerusi Parlimen Jerlun (P005) dengan jumlah perbezaan DUN yang ketara daripada Wilayah.
Pada 2009, beliau bertanding sebagai calon Ketua Pemuda UMNO yang baru selepas pendahulu terdahulu, Datuk Seri Hishamuddin Hussein menyerahkan kedudukan beliau. Bagaimanapun, beliau kalah dalam pertandingan itu yang dimenangi oleh Khairy Jamaluddin.
Pada PRU13, Mukhriz memenangi kerusi DUN Ayer Hitam dengan majoriti 2,446 undi menentang penyandang kerusi Datuk Abdul Ghani Ahmad.
#Datuk Mukhriz Tun Mahathir #DUN Ayer Hitam #MB Kedah #PRU13