Muhyiddin kesal tuduhan pembangkang
Astro Awani
Mac 6, 2013 08:56 MYT
Mac 6, 2013 08:56 MYT
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sedih apabila terdapat pihak yang menyifatkan pencerobohan di Lahad Datu, satu sandiwara Umno.
Beliau menyifatkan tomahan itu sangat keterlaluan sedangkan nyawa anggota pasukan keselamatan tergadai demi mempertahankan kedaulatan negara.
“Pasukan keselamatan yang ditugaskan di Sabah sanggup berkorban nyawa dan bertumpah darah demi mempertahankan negara dan pihak pembangkang pula sanggup mengambil situasi ini sebagai kesempatan untuk menjatuhkan Umno”, kata Muhyiddin dengan nada yang kesal.
Tambahnya, tohmahan itu bukan saja menghina pihak kerajaan malah ianya juga dilihat sebagai memperlekehkan usaha benteng pertahanan negara yang berjuang demi kemakmuran negara.
“Saya begitu kesal dan sedih, macam mana sesetengah pihak boleh memperkatakan begitu. Adakah anggota keselamatan yang terbunuh itu suatu yang seronok untuk dipolitikkan ?”, katanya dengan tegas.
Berucap pada majlis mesra rakyat dan pelancaran jentera Pilihan Raya Ayer Hitam, Muhyiddin berkata, beliau hairan dengan sikap pembangkang yang sentiasa menghasut rakyat bagi menjatuhkan kerajaan pusat.
Bagaimanapun beliau yakin anggota keselamatan akan terus mempertahankan negara dan menentang penceroboh walaupun pelbagai tomahan dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab.