Mesej Shahrizat kepada Wanita UMNO Kuala Kangsar
Astro Awani
April 23, 2013 15:27 MYT
April 23, 2013 15:27 MYT
Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mahu semua ahli Wanita UMNO Kuala Kangsar bekerja keras dua kali ganda untuk memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di kawasan itu.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO itu memberi ingatan bahawa pilihan raya di kawasan Parlimen Kuala Kangsar jadi tumpuan seluruh negara selepas bekas naib ketuanya, Datuk Kamilia Ibrahim bertanding sebagai calon bebas.
"Saya sendiri akan pantau (kempen) tiga kali sehari setiap hari dan serah laporan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Najib (Tun Razak)," katanya kepada lebih kurang 200 ahli pergerakan sayap itu di sini, hari ini.
Jelas Shahrizat, semua ahli Wanita UMNO Kuala Kangsar harus melupakan apa yang telah berlaku sebaliknya bersatu hati untuk menunjukkan kesetiaan kepada parti.
"Bolehlah menangis sehari, habis lama dua atau tiga hari. Selepas itu kita mesti bangun untuk menjalankan tugas yang dituntut oleh Allah demi agama, bangsa dan negara.
"Ini satu amanah dan bukan satu perkara yang boleh dipermain-mainkan," katanya.
Shahrizat hari ini mengadakan kunjungan singkat ke sini bertemu dengan jentera parti serta tiga calon BN yang bertanding di kawasan ini sebelum singgah di kawasan Parlimen Padang Rengas.
Dalam ucapannya, Shahrizat menyifatkan apa yang berlaku sejak Sabtu lalu ada hikmahnya dan akan menguji kesetiaan ahli-ahli sayap itu kepada perjuangan parti.
Kamilia sebelum ini adalah juga Ketua Wanita UMNO bahagian itu.
Mengulas mengenai tindakan bekas naib ketuanya itu, Shahrizat berkata, beliau cukup sedih dan kecil hati kerana "tidak sangka Kamilia sampai hati untuk keluar daripada UMNO."
Bagaimanapun katanya, beliau tidak sampai hati hendak menggunakan perkataan "dipecat" terhadap Kamilia.
UMNO pada Isnin memecat Kamilia dan 57 yang lain kerana bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya umum ini.
Shahrizat juga membayangkan Kamilia bukan seorang pejuang parti yang sejati kerana katanya, "kalau serikandi, dia tak tinggal puan-puan (untuk pilihan raya umum ini), betul tak?"
Kamilia yang menggunakan simbol buku akan menentang calon BN, Datuk Wan Khairil Anuar Wan Ahmad serta calon Pas, Khalil Idham Lim Abdullah.
Dalam pilihan raya umum 2008, Datuk Seri Rafidah Aziz yang mewakili BN mengalahkan calon Pas, Dr. Khairuddin Abdul Malik dengan majoriti 1,458 undi.
Kuala Kangsar mempunyai 33,607 pengundi dengan majoriti Melayu 68 peratus diikuti pengundi Cina dan India masing-masing 28 dan 7 peratus.