Masalah tempatan Gombak perlu ditangani

Haider Yutim
April 20, 2013 07:19 MYT
Pembinaan perumahan mampu milik, masalah sampah serta longkang-longkang yang tersumbat merupakan masalah di Gombak yang perlu ditangani oleh wakil rakyat seterusnya.
Menurut calon Parlimen Gombak, Datuk Dr Rahman Ismail, rakyat di kawsan itu mahukan perumahan yang tidak terlalu tinggi kosnya.
Selain itu, beliau juga mencadangkan universiti, kolej serta asrama-asrama penuh diwujudkan di parlimen itu bagi menjadikan Gombak sebuah bandar ilmu.
“Mereka (rakyat tempatan) mahukan perkara seperti jenayah dikurangkan. Yang seterusnya, mereka mahu lihat Gombak ini terus maju terutama dari segi hal pembelajaran,” katanya kepada wartawan selepas proses penamaan calon Parlimen Gombak di Sekolah Menengah Sungai Pusu pada Sabtu.
Cadangan rumah mampu dan bandar ilmu itu juga turut dipersetujui calon DUN Gombak Setia, Datuk Said Anuar Said Ahmad.
Selain itu, beliau juga mencadangkan agar masalah rumah-rumah setinggan di beberapa kawasan di situ diselesaikan terutama di kawasan Kampung Changkat, Sungai Chinchin dan Kampung Simpang Tiga.
Tambahnya isu tersebut harus diselesaikan dengan sebaik-baiknya.
Di peringkat akar umbi pula, Mejar (Bersara) Mohd Kamaludin Mahmud menyatakan keluhannya tentang masalah sampah yang melanda kawasan Gombak.
“Masalah tempatan.. kutipan sampah. Kalau dulu tiap-tiap dua hari sekali, sekarang sampai berulat... tiga hari pun belum tentu. Kadang-kadang empat hari baru kutip,” katanya kepada Astro Awani.
Bekas pesara tentera itu juga turut mengutarakan tentang masalah longkang tersumbat serta jalan-jalan raya yang berlubang dan tidak berturap.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Gombak Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata masalah banjir di Gombak masih perlu diatasi.
Katanya satu sistem perlu diwujudkan bagi melancarkan pengaliran air supaya ia tidak tersumbat dan mengakibatkan banjir.
“Saya yakin BN amat prihatin mengenai perkara ini dan kami akan cuba mengenalpasti dan kalau diberikan peluang kita akan cuba perbaiki infra untuk rakyat dalam kawasan ini,” tambah Megat.
#BN #calon #Gombak #Pakatan Rakyat #PAS #PKR #PRU #PRU13
;