Manifesto tambahan BN Kelantan utama kebajikan

Bernama
April 11, 2013 19:40 MYT
Manifesto tambahan pilihan raya Barisan Nasional (BN) khas untuk Kelantan mencetus harapan untuk rakyat di negeri itu memiliki rumah sendiri dan soal kebajikan diberi keutamaan sekiranya BN menguasai pemerintahan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Janji BN untuk menyediakan 3,000 unit rumah mampu milik dan pengagihan tanah kepada anak-anak tempatan sudah nyata melegakan ramai penduduk yang sekian lama dibelenggu kemiskinan.
Intipati dalam manifesto itu dapat mengubah kehidupan rakyat Kelantan jika mereka memberi mandat kepada kerajaan BN pada PRU13, kata Ketua Umno Bahagian Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Memberi respons kepada manifesto bertemakan 'Rakyat Dihati Janji Ditepati', beliau berkata BN Kelantan mempunyai kemampuan dan keupayaan untuk menunaikan segala aku janji dalam manifesto itu.
Sebaliknya, kerajaan negeri pimpinan PAS tidak mampu untuk menunaikan janji mereka dan terhutang kepada rakyat dalam tempoh yang panjang, katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran manifesto itu oleh Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed di sini hari ini.
"Kerajaan Pusat sudah tentu akan menyokong penuh usaha kerajaan baharu di Kelantan ini dan tiada sebab untuk rakyat Kelantan menolak BN dalam PRU13 ini," katanya.
Bagi Ketua Umno Bahagian Kota Baharu, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh, intipati aku janji tambahan itu mencerminkan keprihatinan kepimpinan BN Kelantan terhadap rakyat dengan menjuruskan kepada dasar kepentingan yang spesifik.
Ketua Umno Bahagian Tumpat, Datuk Noor Zahidi Omar, berkata aku janji itu adalah yang terbaik untuk dinikmati rakyat Kelantan yang mampu menzahirkan negeri itu menjadi sebuah negeri termaju.
Katanya perancangan yang dilakukan untuk merangka aku janji itu dibuat dengan begitu teliti yang mengambil kira pandangan rakyat berbilang kaum dan agama.
Sementara itu, Pengerusi MIC Kelantan, M. Kuppusamy berkata aku janji tersebut adalah terbaik dan dinanti-nantikan oleh rakyat negeri ini.
"Aku janji ini satu bentuk pembelaan untuk rakyat yang teraniaya seperti yang terlibat dengan ladang rakyat, tidak mampu miliki rumah dan sebagainya," katanya.
"Lebih 20 tahun PAS memerintah Kelantan, namun tiada sebarang bentuk pembangunan dapat dicapai dalam tempoh tersebut," katanya.
Ketua MCA Bahagian Kota Baharu, Tan Ken Ten berkata aku janji itu melibatkan semua golongan tanpa mengabaikan mana-mana kaum atau bangsa.
"Manifesto ini adil dan saya percaya semua rakyat akan mendapat manfaat daripada aku janji ini sekiranya BN diberi mandat oleh rakyat," katanya.
#BN #Kelantan #pilihan raya #PRU-13 #PRU13
;