Mangsa letupan Nibong Tebal tak patah semangat

Bernama
April 24, 2013 19:51 MYT
Pegawai keselamatan Barisan Nasional (BN) Zaidi Ramli, yang tercedera dalam insiden letupan pada satu majlis ceramah di sini semalam, menyifatkan kejadian itu menyemarakkan lagi semangatnya untuk membantu jentera parti itu berkempen pada pilihan raya umum ke-13.
Zaidi, 35, berkata kecederaan di betis kanannya tidak begitu serius dan sebaik sembuh, beliau akan meneruskan tugas membantu jentera BN.
"Saya telah bertugas dengan jentera BN untuk tiga pilihan raya, dan ini yang paling teruk, tetapi kejadian ini membakarkan lagi semangat saya untuk bekerja dengan lebih kuat," katanya kepada pemberita di Kampung Lima Kongsi hari ini.
Beliau ditugas mengiringi Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman, yang juga calon BN bagi Parlimen Nibong Tebal, menghadiri ceramah perdana di pekarangan Bilik Gerakan parlimen itu semalan.
"Sejurus dihantar ke Hospital Sungai Bakap, saya kena buat dua kali X-Ray dan pembedahan untuk mengeluarkan serpihan sampah," katanya.
Polis hari ini mengesahkan kejadian letupan berhampiran bilik gerakan BN pada 10.15 malam itu berpunca daripada alat letupan rekaan (IED).
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata polis percaya bahan letupan IED yang diletak dalam longgokan sampah di kawasan itu adalah perbuatan khianat dan dirancang sekumpulan profesional.
Polis yang menemui dua IED dalam longgokan sampah, percaya ia bertujuan menakutkan orang ramai serta menimbulkan suasana tidak tenteram dan huru-hara di kawasan ceramah.
Letupan itu berlaku ketika Pengerusi Gerakan negeri Datuk Dr Teng Hock Nan sedang berucap.
Selain Zainal Abidin, majlis itu dihadiri Ketua Wanita MCA Tan Cheng Liang dan Pengerusi Perhubungan Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Dr Loga Bala Mohan.
#BN #ceramah #letupan #Nibong Tebal #pulau pinang #UMNO
;