Lapor siar langsung penamaan calon PRU-13
Astro Awani
April 19, 2013 06:45 MYT
April 19, 2013 06:45 MYT
Kami akan bawakan kepada anda laporan perkembangan proses penamaan calon dari masa ke masa bersama wartawan kami yang berada di serata negara.
Teruskan bersama kami, destinasi laporan pilihan raya anda. Dalami. Fahami. Luaskan pandangan.
Sekiranya anda berada di pusat penamaan calon, kongsikan bersama kami laporan dan foto yang anda rakamkan di lokasi melalui Twitter @501Awani #AWANIPRU
Bagaimanakah proses penamaan calon?
Seseorang calon boleh bertanding atas nama parti atau individu sebagai calon bebas.
Mereka yang mahu bertanding perlu menyerahkan kertas pencalonan kepada pengurus pilihan raya kawasan antara pukul 9 hingga 10 pagi.
Calon perlu mengemukakan wang deposit; RM10,000 bagi kerusi Parlimen dan RM5,000 bagi kerusi DUN bersama borang dan akuan berkanun.
Calon juga dikenakan deposit poster sebanyak RM5,000 bagi calon Parlimen dan RM3,000 bagi calon DUN.
Kenapa kena bayar deposit? Supaya poster dan bendera yang dinaikkan untuk kempen akan diturunkan selepas pilihan raya selesai.
Kalau tidak turunkan dalam masa 14 hari selepas hari mengundi, deposit akan lesap.
Tahukah anda siapa boleh jadi calon?
Ini dia syarat-syarat untuk jadi calon: warganegara Malaysia dan bermastautin di negara ini, berumur tidak kurang daripada 21 tahun pada hari penamaan calon; dan tinggal di negeri tempat dia akan bertanding.
Calon itu hilang kelayakan bertanding kalau dia ada salah satu daripada berikut:
(i) telah didapati atau diisytiharkan tidak siuman. Ertinya, orang gila tidak boleh jadi calon; atau
(ii) memegang jawatan berkepentingan 'office of profit'; atau
(iii) gagal mengemukakan laporan perbelanjaan pilihan raya; atau
(iv) telah didapati bersalah oleh mahkamah di negara ini dan dijatuhkan hukuman penjara untuk tempoh tidak kurang dari 1 tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan belum dapat pengampunan; atau
(v) jadi warganegara lain.