Ketua Menteri Melaka yang baru angkat sumpah esok
Bernama
Mei 6, 2013 19:33 MYT
Mei 6, 2013 19:33 MYT
Ketua Menteri Melaka yang baharu menggantikan Datuk Seri Mohd Ali Rustam dijangka akan mengangkat sumpah jawatan di pejabat Yang Dipertua Negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh, pagi esok.
Seorang jurucakap Jabatan Ketua Menteri di sini berkata majlis angkat sumpah pelantikan Ketua Menteri Melaka yang ke-10 itu akan dilakukan di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob.
Antara calon yang disebut akan mengisi jawatan tersebut ialah Datuk Idris Haron, 46, yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dan angota DUN Asahan, Datuk Abdul Ghafaar Atan.
Barisan Nasional (BN) kembali membentuk kerajaan negeri di Melaka dengan majoriti dua pertiga selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semalam.
Pada PRU 2004 dan 2008, Idris, yang jug Ketua Umno Bahagian Tangga Batu, bertanding kerusi Parlimen Tangga Batu dan pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi selepas PRU 2008.
Pada PRU13, Idris mengalahkan calon PKR Asri Buang dengan majoriti 9,131 undi manakala Abdul Ghafaar, 56, menewaskan calon PAS Wong Chee Chew dengan majoriti 3,857 undi.