Kemenangan besar buktikan BN masih relevan di Perlis

Bernama
Mei 5, 2013 05:34 MYT
Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Perlis pada pilihan raya umum ke-13 semalam membuktikan parti itu masih relevan dan diperlukan rakyat.
Kemenangan itu bukan sekadar menyaksikan 13 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi milik BN malah tujuh kerusi yang dimenangi mencatat peningkatan majoriti.
Pencapaian itu melenyapkan andaian negatif sebelum ini bahawa BN bakal menghadiahkan lebih banyak kerusi kepada pembangkang pada pilihan raya umum yang disifatkan sebagai paling mencabar.
Meskipun pakatan pembangkang mencanangkan bahawa mereka sudah hampir pasti menduduki Mini Putrajaya di Seriab, yang menjadi pusat pentadbiran di Perlis, namun keputusan pilihan raya semalam melenyapkan impian itu.
"Saya tidak fikir rakyat akan mengambil risiko kerana BN telah membentuk kerajaan yang sentiasa menepati janji," kata Abdul Razak Said, 63, yang bersyukur dengan kemenangan parti itu.
Beliau berkata kerajaan yang diterajui BN sudah melakukan yang terbaik dan terlalu sukar untuk rakyat menolak kerajaan yang berjasa.
Pendapat itu turut disokong Wan Radzi Wan Lah, 54, yang mengakui bahawa kerajaan negeri tidak pernah melupakan janji, termasuk mempercepat proses mendapatkan geran tanah yang dijanjikan pada 2008.
"Pakatan pembangkang juga menawarkan perkara yang sama dalam manifesto piihan raya umum, tetapi kerajaan Perlis telah melaksanakannya sejak 2008," katanya.
Sejak 2008, lebih 9,000 permohonan tanah diluluskan dan lebih 4,000 geran hak milik dikeluarkan kepada pemohon.
Wan Radzi percaya meskipun kepimpinan BN bertukar ganti, namun semangat membantu rakyat tetap berkekalan meskipun sebahagian anggota DUN yang mewakili parti gabungan itu kali ini adalah muka baharu.
Enam muka baharu BN dalam DUN Perlis adalah Azlan Man (Pauh), Ismail Kasim (Tambun Tulang), Nurulhisham Yaakob (Simpang Empat), Khaw Hock Kong (Titi Tinggi, Asmaiza Ahmad (Chuping) dan Rela Ahmad (Bintong).
-
Turut mewarnai DUN Perlis kali ini adalah dua muka baharu dari pakatan pembangkang iaitu Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Pusat Chan Ming Kai dan Ketua Penerangan PAS Perlis Mohd Shukri Ramli.
Sebelum ini, dua kerusi pembangkang diwakili PAS iaitu Rus'sele Eizan, yang tewas kepada Nurulhisham di Simpang Empat serta Pesuruhjaya PAS Perlis Hashim Jasin, yang tidak bertanding kali ini.
Muka lama BN bagi DUN Perlis termasuk Jafperi Othman (Guar Sanji), Abdul Jamil Saad (Sena), Mat Hassan (Kuala Perlis), Ahmad Bakri Ali (Kayang), Datuk Mat Rawi Kassim (Beseri), Khairi Hasan (Mata Ayer) dan Sabry Ahmad (Santan).
Ada yang melihat DUN Perlis kali ini bakal lebih gamat bukan sahaja kerana gandingan muka baharu dan lama tetapi juga dengan kehadiran Chan Ming Kai, bekas anggota DUN Simpang Pulai, yang pernah mencipta kontroversi di Perak.
Apapun yang penting, semua anggota DUN itu pastinya akan membawa mandat rakyat dan berusaha melakukan perubahan di bawah payung BN.
#Barisan Nasional #election #GE-13 #GE13 #pakatan #PAS #pilihan raya #PRU-13 #PRU13
;