Kalah bukan noktah perjuangan saya -- Salahudin Ayub

Irwan Muhammad Zain
Mei 7, 2013 00:56 MYT
Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub menyifatkan kekalahan beliau di kerusi parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nusajaya satu kemenangan peribadi dan juga bagi PAS Johor.
Beliau menegaskan kekalahan di dua kerusi yang ditandinginya itu bukan penamat karier politiknya di Johor dan dalam PAS.
Sebaliknya, Salahudin menyifatkan kekalahannya itu satu permulaan yang baik untuk dirinya dan parti.
"Kekalahan saya merupakan satu permulaan yang baik untuk karier politik saya di Johor.
"Selain itu ia juga merupakan satu permulaan yang baik untuk PAS Johor dalam mencorakkan landskap politik di negeri ini," kata beliau kepada Astro Awani.
Salahudin mengulangi pendiriannya sebelum ini yang beliau tidak akan meninggalkan Johor dan akan terus memberikan khidmat di negeri kelahirannya itu.
"Saya akan terus berjuang di Johor kerana kepulangan saya telah membawa makna tersendiri terhadap perjuangan PAS di Johor," katanya.
Salahudin seterusnya menerima kekalahan itu dengan redha dan mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan kepadanya di dua kerusi yang ditandinginya.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada jentera PAS dan Pakatan Rakyat Johor yang telah bekerja untuk memastikan berlaku perubahan landskap politik di Johor.
Pada pilihan raya umum yang berakhir semalam, Salahudin tewas kepada calon Barisan Nasional. (BN) Datuk Nur Jazlan Mohamed di kerusi parlimen Pulai dengan majoriti tiga ribu undi manakala untuk kerusi DUN Nusajaya, beliau tewas kepada Datuk Dr Zaini Abu Bakar juga dari BN dengan majoriti lebih dua ribu undi.
Sementara itu ketika diminta mengulas prestasi menurun PAS dalam pilihan raya umum kali ini, Salahudin menjelaskan pihaknya akan membuat post mortem terhadap apa yang berlaku.
"Kita akan membuat post mortem terhadap prestasi PAS yang menurun dalam pilihan raya umum kali ini," katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan krisis dalaman di Kedah menyebabkan prestasi PAS menurun hingga menyebabkan hilang negeri Jelapang Padi itu.Sementara itu ketika diminta mengulas prestasi menurun PAS dalam pilihan raya umum kali ini, Salahudin menjelaskan pihaknya akan membuat post mortem terhadap apa yang berlaku.
"Kita dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat akan lihat dengan teliti punca tewas di Kedah dalam pilihan raya umum kali ini," katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan krisis dalaman di Kedah menyebabkan prestasi PAS menurun hingga menyebabkan hilang negeri Jelapang Padi itu. BN berjaya memenangi 21 kerusi DUN untuk merampas Kedah daripada Pakatan Rakyat yang mendapat 15 kerusi.
Pada PRU-12, Pakatan Rakyat merampas Kedah dengan memperolehi 22 kerusi manakala BN 14 kerusi.
Salahudin adalah antara pemimpin kanan Pas yang tersungkur dalam pilihan raya umum ini.
Seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa tewas kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mewakili BN dengan majoriti 5,541 undi di kerusi parlimen Putrajaya. Husam bagaimana pun menang di kerusi DUN Salor dengan majoriti 3,683 mengalahkan calon BN, Mohd Noordin Awang.
Sementara itu. Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu juga tewas untuk kerusi parlimen Pendang. Beliau tewas kepada calon BN, Othman Abdul dengan majoriti 2,600 undi.
#Naib Presiden Pas #PRU-13 #Salahudin Ayub