Jentera BN digesa tidak ambil mudah

Astro Awani
April 7, 2013 23:00 MYT
Jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan agar tidak mengganggap usaha menebus semula kerusi Parlimen yang kalah semasa pilihan raya lalu sebagai satu perkara mudah.
Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, kelekaan jentera parti hanya memberi peluang kepada pembangkang yang dilihat tidak mudah menyerah kalah.
Muhyiddin berkata, apa yang dilakukan BN kepada rakyat selama ini bukan jaminan untuk anggota berasa selesa, sebaliknya perlu bekerja keras memenangi hati pengundi.
Ujarnya, cabaran yang ditempuhi BN sekarang ialah bagaimana untuk menterjemahkan sokongan rakyat dalam bentuk undi pada hari pengundian.
Justeru, beliau mengingatkan parti komponen BN agar sentiasa mengamalkan sikap muafakat antara satu sama lain dalam usaha menewaskan pembangkang pada PRU ke13.
Muhyiddin berkata demikian semasa berucap melancarkan Command Centre Jentera BN Batu di Taman Bullion Mewah, Parlimen Batu.
Beliau sebelum itu meluangkan masa dengan makan tengahari bersama kira-kira 400 penduduk Kampung Padang Balang, Sentul.
#Jentera BN #Parlimen #Tan Sri Muhyiddin Yassin