Jangan sabotaj parti jika tidak tercalon - Awang Adek
Astro Awani
April 14, 2013 19:17 MYT
April 14, 2013 19:17 MYT
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein menyarankan kepada individu yang tidak tersenarai sebagai calon untuk tidak merajuk dan mensabotaj parti.
Menurutnya, bedasarkan penerimaan yang semakin baik rakyat Kelantan terhadap Barisan Nasional (BN) dan UMNO adalah tidak wajar untuk yang tidak tercalon bertindak mengikut emosi.
“Kita juga bimbang sekiranya ada yang kecewa oleh sebab itu Presiden parti telah memberi amanat khusus kepada jentera BN pada perjumpaan minggu ini kerana BN mempunyai harapan yang baik disini,” kata Awang.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan jentera Pilihan Raya Parlimen Pengkalan Chepa.
Tambahnya, individu yang didapati mensabotaj parti bakal berdepan hukuman berat dan tegas.
Awang Adek menjelaskan, pihaknya mempunyai cara tertentu untuk mengenal pasti individu yang cuba merosakkan parti termasuk melakukan sabotaj.