Isu wilayah Iskandar antara isu hangat di Johor
Astro Awani
April 23, 2013 09:14 MYT
April 23, 2013 09:14 MYT
Pembangunan di wilayah Iskandar di Johor antara isu hangat yang dijangka dibangkitkan menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke - 13, di mana kawasan itu menyaksikan pertembungan diantara calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).
Untuk kerusi parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad dari Barisan Nasional (BN) akan menentang Jeneral (B) Tan Sri Hashim Hussein dari Parti Keadilan Rakyat (PR)
Pensyarah UiTM dan Felo penyelidik UMCEDEL Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin berkata tinjauan mendapati isu ini akan dimainkan kedua-dua belah pihak.
“Bagi BN, ini menunjukkan kemajuan, pembangunan, kawasan pendapatan tinggi dan kawasan penting di rantau Asia Tenggara.
“Tetapi dalam aspek yang lain, ia akan memberi kesan seperti harga rumah semakin tinggi dengan warga Singapura sudah mudah membeli rumah dan tanah sekitarnya yang akan menyebabkan harga hartanah semakin meningkat,” kata beliau ketika siaran langsung rancangan Agenda AWANI pada hari Isnin.
Walaupun ini adalah antara isu dan strategi buat PR 'menyerang' Johor, namun beliau berpendapat tidak ramai kelompok kepimpinan PR yang bertanding di Johor dan ia cuma sekadar satu perang psikologi pihak itu.
Tambah penganalisis politik Dr Hamidin Abdul Hamid: “Walaupun jumlah calon yang diletakkan PR tidak ramai, isunya adalah apakah bentuk gelombang perubahan yang dapat dilihat di Johor. DAP tampil ke hadapan dalam konteks ini kerana mereka melihat wujudnya satu peralihan corak pengundian di kalangan pengundi Cina."
Ikuti perbincangan selanjutnya di dalam Agenda AWANI.