Hudud: Apa kata rakyat Malaysia?
Syafique Shuib
April 28, 2013 07:00 MYT
April 28, 2013 07:00 MYT
Walaupun rata-ratanya tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum Hudud, sebahagian masyarakat bukan Islam boleh menerima hukum Hudud sekiranya hukum itu hanya dikenakan terhadap masyarakat Islam sahaja.
“Secara peribadi, saya tidak setuju namun jikalau majoriti umat Islam mahukannya dan jikalau hukum Hudud hanyalah untuk umat Islam teruskan sahaja tapi jangan membabitkan kami yang bukan beragama Islam. Saya tidak setuju jika ia akan dilaksanakan kepada semua dan sebagai undang-undang negara,” kata eksekutif pemasaran Teng Wan Ying, 30.
Bagi pengundi muda Sheryl Ho Su Lynn, 26, beliau tidak bersetuju sepenuhnya namun berpendapat pelaksanaan Hudud boleh dipertimbangkan untuk masyarakat Islam.
“Ini adalah hukum berkaitan agama dan tidak boleh dikenakan kepada semua. Saya tidak setuju dengan cadangan ini” kata Sheryl.
Seorang lagi responden, Daryl Boswell Sui juga tidak bersetuju malah bercadang berhijrah sekiranya ia dilaksanakan.
“Sekiranya Hudud dilaksanakan, saya akan berpindah ke negara lain bersama ahli keluarga saya. Namun saya berpendapat Hudud tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan,” kata Daryl, 38.
Daniel Krishna, 30 pula bertanya: “Kita masih tidak dapat melaksanakan undang-undang sedia ada sepenuhnya. Bagaimana pula kita hendak melaksanakan hukum Hudud?”
Namun bagi mereka yang beragama Islam, kefahaman sebenar tentang hukum Hudud perlu diperjelaskan kepada mereka yang bukan Islam.
“Masyarakat masih tidak memahami tentang hukum Hudud. Apa yang mereka tahu adalah tentang hukuman potong tangan dan kepala. Ambil zaman Rasullulah sebagai contoh. Kebajikan semua masyarakat dijaga dan jumlah jenayah hampir tiada. Hukum hudud adalah untuk menjaga kebajikan baik buat mereka yang beragama Islam mahupun yang bukan Islam.
“Pernahkah anda mendengar tentang penjenayah dipotong tangan atau dilontar dengar batu sehingga mati di Kelantan? Ini hanyalah hukuman terakhir yang dilaksanakan sekiranya pesalah tidak bertaubat,” kata Dr Fahmy Izwan Jantan, 28.
Pensyarah Ayu Zulkifli, 36, mempunyai pendapat yang berbeza mengenai hukum Hudud yang diperjuangkan sesetengah pihak..
“Jikalau mereka ingin melaksanakan Hudud, maka ia memerlukan pentadbiran bercorak Islam sepenuhnya. Ini adalah antara objektif parti Pas dan mereka harus memberi fokus kepada objektif ini untuk membezakan mereka dari parti Umno atau Keadilan. Namun buat masa sekarang, objektif itu seperti telah tersasar dari landasan,” kata beliau.
Menurut kajian yang dikendalikan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), 62 peratus responden Melayu berpendapat pelaksanaan hukum Hudud boleh menjanjikan keadilan kepada semua.
Namun 25 peratus daripada responden berbangsa Cina dan 30 peratus daripada responden berbangsa India berpendapat sebaliknya.
Ditanya adakah hukum Hudud tidak boleh dilaksanakan di Malaysia kerana masyarakatnya berbilang kaum dan agama, 31 peratus responden Melayu bersetuju manakala responden Cina yang bersetuju ialah 51 peratus dan responden India yang bersetuju pula ialah 54 peratus.
Kajiselidik UMCEDEL dilakukan pada 1 September hingga 16 September 2012 dengan 1536 bilangan responden.
Pada Sabtu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan ketiadaan kesepakatan dalam Pakatan Rakyat (PR) berhubung isu hudud adalah satu masalah besar yang perlu dinilai rakyat.
Kenyataan Muhyiddin adalah susulan kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh yang mendesak Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyatakan pendiriannya berhubung isu hukum Hudud dan konsep negara Islam yang ingin dilaksanakan PAS, sekutunya dalam pakatan pembangkang.
"Beliau (Anwar) perlu menyatakan pendiriannya. Saya fikir rakyat mahu mendengarnya. (Penasihat DAP) Lim Kit Siang dan (Setiausaha Agung DAP) (Lim) Guan Eng telah menyatakan pendirian parti, mereka tidak sokong hudud, mereka tidak sokong negara Islam," katanya.
Pada Khamis, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu tidak akan memaksa DAP untuk menerima pelaksanaan hukum hudud.
"Dalam perkara yang bersama, kita bersatu. Dalam perkara yang berbeza kita tidak berkelahi. Timbul masalah PAS melaksanakan hukum hudud, DAP tidak setuju tetapi tidak menentang.
"Ini suatu perbezaan yang kita kena faham. Kalau kita tidak boleh paksa dalam perkara agama, maka undang-undang lebih lagi tidak boleh dipaksa. Ini dasar yang kita amalkan," katanya.