'Hak rakyat dan PDRM perlu dihormati' - PM

Astro Awani
April 7, 2013 19:55 MYT
Kebebasan individu dan kepentingan masyarakat keseluruhan perlu diseimbangkan supaya Malaysia dianggap sebagai sebuah negara demokrasi yang matang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan perkara itu dapat dicapai sekiranya wujud kefahaman antara rakyat dan kerajaan.
Perdana menteri berkata hak asasi rakyat perlu dihormati namun pada masa sama kuasa yang ada pada polis tidak boleh hilang untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.
Najib berkata, “Rakyat mahu kita meninggikan lagi tahap profesionalisma kita supaya hak asasi rakyat dihormati tetapi jangan sampai pihak polis tidak ada kuasa untuk menjalankan kerja dan tanggungjawab, saya percaya inilah keseimbanagan antara kebebasan dan kepentingan masyarakat keseluruhannya."
Katanya jika rakyat menuntut perubahan tetapi kerajaan tidak membuat perubahan maka akan berlaku pertembungan antara rakyat dan kerajaan.
Beliau juga menjelaskan bahawa rakyat akan lebih menghargai sebuah kerajaan yang mampu melakukan perubahan seiring dengan kehendak rakyat.
Perdana Menteri menegaskan sejarah membuktikan bahawa pembaharuan yang dibuat oleh kerajaan yang berpaksi kepada kehendak rakyat akan kekal dan bermakna.
Najib berkata demikian ketika berucap di majlis perjumpaan bersama pesara-pesara pegawai tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
#Datuk Seri Najib Tun Razak #kebebasan #kepentingan
;