Golongan pekerja letak harapan tinggi manifesto terlaksana

Khairul Wasiril Aswad
Mei 1, 2013 18:53 MYT
Sambutan Hari Pekerja pada tahun ini membawakan tema “Pekerja Pemangkin Transformasi Negara” bagi menghargai jasa golongan pekerja yang bekerja keras demi menjana ekonomi negara.
Tema kali ini ternyata turut memberikan pelbagai pengertian di kalangan masyarakat seiring dengan kehadiran Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang dikatakan paling getir dalam sejarah negara.
Ia juga menyaksikan dua parti utama, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) menawarkan manifesto dan “akujanji” khusus dalam aspek peluang pekerjaan bagi memenangi undi rakyat.
Apakah pandangan golongan pekerja mengenai perkara ini?
Menurut seorang pegawai bank, Nor Sharifah Omar, pelbagai bantuan yang dihulurkan kerajaan telah membuktikan bahawa kerajaan BN mampu melaksanakan segala janji khususnya dalam meningkatkan peluang pekerjaan.
“Bagi saya janji yang diberikan oleh BN adalah berpatutan, tidak keterlaluan dan mampu dicapai kerana sekarang ni pun sudah ada pelbagai bantuan diberikan kerajaan seperti pelaksanaan gaji minimum, BR1M dan sebagainya,” kata Nor Sharifah Omar.
Dalam pada itu, pengundi buat kali pertama, Hafizah Abu Bakar, yang merupakan pelajar undang-undang di Universiti Malaya percaya parti-parti bertanding bakal menyalurkan banyak peluang pekerjaan terutamanya kepada bakal lepasan graduan.
“Saya rasa selepas pilihan raya nanti akan ada banyak peluang pekerjaan kerana mana-mana parti yang menang akan cuba untuk membuktikan bahawa mereka mampu mengotakan janji dan manifesto melibatkan peluang pekerjaan sekiranya diberi mandat,” kata Hafizah.
Bagaimanapun, buat kontraktor, Fauzi Zulkifli pula dia mempunyai pendapat yang berbeza.
“Saya rasa manifesto yang dibentangkan PR lebih relevan dengan hanya menawarkan satu juta peluang pekerjaan berbanding janji BN yang menawarkan tiga kali ganda kerana melihat kepada ekonomi kita sekarang sasaran PR lebih realistik,” kata Fauzi dengan yakin.
Sementara itu Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan Hari Pekerja berjanji akan melipatgandakan lagi usaha untuk memastikan peningkatan taraf hidup setiap pekerja di Malaysia sekiranya BN diberi mandat kukuh pada PRU-13 Ahad ini untuk memerintah negara.
Beliau berkata, pekerja Malaysia yang seramai 13 juta orang juga mempunyai banyak sebab untuk bersyukur, antaranya kadar pengangguran negara yang rendah iaitu hanya 3.3 peratus pada Januari lepas berbanding negara maju seperti Sepanyol yang mencatatkan 26.2 peratus pengangguran, kawasan Euro (12 peratus), Perancis (10.7 peratus), Amerika Syarikat (7.9 peratus) dan Australia (5.4 peratus).
Perdana Menteri juga berkata, kos kehidupan di negara ini juga terkawal dengan angka tunjuk inflasi untuk Januari tahun ini sebanyak 1.3 peratus sementara kadar kemiskinan relatif menurun kepada 1.7 peratus selain pendapatan perkapita yang meningkat kepada RM29,488 pada tahun lepas.
"Semua ini adalah hasil sebuah kerajaan yang mendahulukan kepentingan dan kesejahteraan rakyat di atas segala dukungan serta sokongan lebih 13 juta tenaga pekerja Malaysia," katanya.
#BN #Pekerjaan pemangkin Transformasi Negara #peluang pekerjaan #PR #PRU-13
;