Gen-Y pentingkan kekuatan calon

Astro Awani
April 11, 2013 07:23 MYT
"Ketaksuban terhadap parti politik bukanlah satu agenda kepada golongan muda tetapi sebaliknya penilaian terhadap kekuatan calon atau pemimpin itu sendiri."
Demikian hujahan yang dilontarkan oleh seorang pengundi muda, Farhan Nor Diyana Samsuddin dalam temubual bersama Agenda Awani.
Menurut beliau, kebolehan pemimpin atau calon di sesuatu kawasan itu membuat perubahan adalah faktor utama yang dilihat dan diteliti oleh golongan muda.
"Pada Pilihan raya umum (PRU) kali ini dilihat parti politik lebih sensitif menekankan terhadap kepentingan golongan muda dalam manifesto kedua-dua pihak. Tetapi adakah mereka dapat menunaikan janji mereka ini?
"Golongan muda sebenarnya inginkan kelangsungan hidup dapat diteruskan ke tahap yang lebih baik terutama sekali berkenaan soal kos sara hidup yang semakin meningkat. Jadi apakah yang ahli-ahli politik akan lakukan untuk menstabilkan keadaan ini?" tambah Farhan.
Farhan menambah, kedua-dua pihak parti politik perlu menyediakan satu platform bagi Generasi-Y menyuarakan pendapat dan mengambil kira pandangan yang dilontarkan.
"Disebabkan ledakan media baru, pengundi muda lebih peka terhadap pelbagai isu. Kita bukan lagi berada pada zaman yang bergantung kepada jawapan retorik semata-mata.
"Sebaliknya ahli-ahli politik perlu tampil dan berikan hujahan yang lebih jelas bersama fakta-fakta yang baik supaya dapat menarik golongan muda kepada sesebuah parti politik," kata beliau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Orator Malaysia, Mohd Yunus Zakaria berkata, sesi perdebatan merupakan cara terbaik bagi ahli-ahli politik mengeluarkan hujahan masing-masing dalam menarik pengundi muda.
"Di Malaysia ramai melihat sesi berdebat sebagai persaingan atau satu pertarungan berbanding sesi berdebat di negara luar yang lebih matang dan mementingkan matlamat.
"Lainnya di Malaysia, ia lebih kepada penjejasan imej pihak lawan, bersifat kutukan serta mengungkit cerita-cerita lama. Kita berdebat untuk membincangkan soal masa hadapan bukan membangkitkan cerita lama," kata Yunus.
#Generasi-Y #golongan muda #kekuatan calon #parti politik #PRU13
;