Dakwat kekal untuk undi pos tidak praktikal

Aizat Sharif
April 30, 2013 17:52 MYT
Penggunaan dakwat kekal untuk pengundi pos tidak praktikal dan sukar untuk dilaksanakan.
Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata segala dokumen termasuk borang identiti diletakkan dalam sampul surat.
“Jadi, takkan kita nak masukkan pula dakwat tersebut dalam sampul surat. Tujuan undi pos dilakukan adalah untuk mengelakkan situasi pembuangan undi besar-besaran yang memakan kos sedangkan ianya boleh dilakukan dalam skala yang kecil,”kata Abdul Aziz.
“Maka, tak perlulah adanya kotak-kotak peti undi besar, ejen parti dan kerani pilihan raya dan pengundi yang menjalankan undi pos ini kadangkalanya tidak ramai dalam sesuatu kawasan itu,” katanya lagi.
Pada edisi pilihan raya kali ini, petugas media yang akan bertugas pada hari pilihan raya dibenarkan untuk melakukan undi pos.
Malah, semenjak enam hari yang lalu, petugas media telah mula menerima kertas undi pos secara berperingkat.
Kertas-kertas undi ini yang diletakkan dalam sampul-sampul keutamaan itu dihantar kepada mereka melalui surat berdaftar oleh Pos Malaysia.
Kertas-kertas undi ini mesti dikembalikan kepada pegawai pengurus pilihan raya melalui pos tanpa setem selewat-lewatnya 5 Mei pada jam 5 petang.
#dakwat kekal #PRU13 #SPR #tak praktikal #undi pos
;