Daftar undi sah - SPR
Hasbullah Awang Chik
April 25, 2013 07:30 MYT
April 25, 2013 07:30 MYT
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar menempelak segala tuduhan yang dilemparkan oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Data pemilih Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) muktamad. Ianya telah diwartakan dan disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara dan Kementerian Dalam Negeri. Penduduk tetap dan warga asing boleh menjadi warganegara seperti yang digariskan dalam undang-undang," jelas Wan Ahmad.
Timbalan Pengerusi SPR itu meminta Anwar jangan mempertikaikan data pemilih yang telah dimuktamadkan.
Anwar hari ini mendakwa terdapat pengundi warga asing yang berdaftar dalam sistem daftar pengundi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Analisa daftar pengundi mendapati seramai 28,593 pengundi warga asing yang berasal dari Indonesia, Filipina, Pakistan dan Bangladesh berdaftar dalam senarai pengundi berkenaan," Anwar memberitahu pemberita dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Parti PKR di Petaling Jaya.
Ketua Umum itu memberitahu Sabah mempunyai 15,907 pengundi berdaftar yang berasal dari Filipina dan Indonesia. Selangor pula mempunyai seramai 4,324 pengundi asing yang lokasi pembuangan undinya di Sabah, Selangor dan Kuala Lumpur.
Antara kawasan Parlimen yang mempunyai pengundi asing tertinggi ialah Silam, Libaran, Kalabakan, Sepanggar dan Tawau.
"Seramai 16,589 pengundi asing diberi status lahir di Sabah. Manakala 42 pengundi yang berasal dari Filipina dan Pakistan didaftar sebagai pengundi pos polis dan tentera.
"Justeru SPR jangan berdalih, bersih dan batalkan percanggahan daftar undi berkenaan," jelas penyandang Parlimen Permatang Pauh itu.
Anwar memberitahu inilah sebab penangguhan penubuhan suruhanjaya berhubung isu pendatang asing di Sabah bagi mengelakkan pendedahan berkenaan.
"Saya merayu pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka untuk keluar mengundi pada 5 Mei ini. Kita mesti jalankan hak sebagai rakyat Malaysia," tambah Anwar.
Dalam sidang media itu juga, suami kepada Presiden PKR itu meminta penjelasan SPR berhubung peti undi yang sepatutnya dihantar ke Putrajaya namun telah dihantar ke Pusat Perindustrian Chua di Kajang Selangor.