Calon muda pun ada kredibiliti politik

Aizat Sharif
April 13, 2013 07:12 MYT
Langkah Barisan Nasional(BN) untuk mengenengahkan calon muda dari parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dilihat sebagai usaha untuk ‘meremajakan’ imej parti itu selain memberi nafas baru kepada parti itu.
Menurut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Serdang, Datuk Mohamad Satim Diman, calon-calon muda yang bakal bertanding untuk PRU13 kali ini bukanlah calang-calang orangnya kerana mereka sudah semestinya mempunyai latarbelakang dan asas-asas politik yang menyebabkan mereka dipilih.
“Pada pendapat saya, meskipun mereka ini muda, namun mereka sudah ada asas-asas politik pada diri mereka dalam memastikan mereka benar-benar bersedia untuk persaingan pilihan raya kali ini,” kata Satim kepada Astro Awani.
Beliau menambah selain itu calon-calon muda yang ditampilkan ini juga mempunyai kredibiliti dan kemampuan masing-masing untuk meberi khidmat kepada masyarakat.
“Sesiapa sahaja yang dicalonkan mestilah sudah dilihat dari pelbagai aspek. Walaupun mereka ini muda, mereka punya kredibiliti dalam bidang politik dan saya tidak gusar mengenai perkembangan ini kerana ianya baik untuk parti dan negara dalam melahirkan pemimpin pelapis,”
Mohamad Satim adalah ADUN BN Sri Serdang selama dua penggal dari tahun 2004.
Sementara itu, Pengerusi Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman berkata Pakatan Rakyat akan menampilkan gabungan calon berpengalaman dan calon muda untuk bertanding dalam PRU13 kali ini.
“Sebenarnya, untuk PRU13 ini, kita menampilkan gabungan calon-calon berpengalaman dan calon-calon muda. Calon-calon berpengalaman ini termasuklah Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri manakala calon-calon muda pula seperti Nik Nazmi Nik Ahmad, Shamsul Iskandar dan ramai lagi,” kata Fauzi.
Malah calon muda ini terdiri dari pelbagai latar belakang dan kerjaya seperti peguam, jurutera, akauntan dan pegawai bank. Mereka semua mempunyai kredibiliti dalam bidang politik yang mendorong mereka untuk dipilih oleh pimpinan Pakatan Rakyat.
Namun baginya, tidak kira samada calon itu muda atau berusia, calon yang dipilih itu secara keseluruhannya perlu mampu memberi khidmat terbaik kepada masyarakat.
Selain itu beliau turut menyangkal dakwaan mengatakan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat seperti Musyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah terlalu lama dalam bidang politik dan mereka perlu berundur.
Datuk Fauzi Abdul Rahman adalah antara muka baru untuk PRU13 dari PKR Pahang yang akan bertanding di DUN Indera Mahkota.
#BN #calon muda #FAUZI ABDUL RAHMAN #PKR #PRU13 #Satim Diman
;