Calon bebas langgar parti sendiri
Astro Awani
April 20, 2013 17:39 MYT
April 20, 2013 17:39 MYT
Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat dikejutkan oleh beberapa ahli parti masing-masing hari ini apabila mereka disahkan sebagai calon bebas melawan calon yang ditentukan oleh parti.
Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim bertanding sebagai calon bebas di kerusi Parlimen Kuala Kangsar.
Beliau akan menentang calon BN, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad yang sebelum ini merupakan ADUN Bukit Chandan serta calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah.
Sementara itu, di Parlimen Tasek Gelugor, bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Shariff Omar mengotakan ikrar kecewanya bertanding sebagai calon bebas selepas tidak disenaraikan oleh BN untuk jadi calon.
Beliau yang merupakan wakil rakyat kerusi itu pada 2004 akan bersaing dengan calon BN, Shabudin Yahya dan tokoh korporat, Datuk Seri Abdul Rahman Maidin yang mewakili Pas.
Shabudin yang diminta mengulas pencalonan Shariff itu berkata, terserahlah kepada rakyat untuk menilai dan memilih.
"Ini negara demokrasi, mereka ada hak (untuk bertanding). Saya tidak ada halangan. Ini adalah satu lapangan terbaik untuk membuktikan siapa yang diterima oleh rakyat," katanya.
Sementara itu, di Alor Setar, Fadhil Hanafi turun sebagai calon bebas mempertahankan kerusi DUN Alor Mengkudu yang dimenanginya atas tiket BN pada pilihan raya umum 2008.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam reaksinya berkata, surat pemecatan ke atas mereka yang terlibat akan dikeluarkan pada Isnin ini.
Dalam pada itu, di Pasir Mas, calon BN tidak mengemukakan kertas pencalonan menyebabkan BN tidak bertanding di kerusi Parlimen tersebut. Kerusi itu ditandingi oleh penyandangnya, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang dicabar oleh calon Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.
Sementara itu, Pas dan Parti Keadilan Rakyat nyata tidak mencapai kata sepakat berhubung kerusi DUN Sungai Acheh apabila kedua-dua parti meletakkan calon masing-masing.
Kerusi itu secara tradisinya ditandingi oleh Pas tetapi pada 2008 diserahkan kepada PKR.
Calon BN, Datuk Mahmud Zakaria bertanding mempertahankan kerusi itu yang beliau menangi lima tahun lalu. Lawannya, calon PKR Badrul Hisham Shaharin dan calon Pas, Yusni Mat Piah yang pengumuman pencalonan mereka dibuat hanya berselang tidak sampai 24 jam.
Dalam pada itu, keadaan sama berlaku di DUN Kota Damansara apabila calon Pas, Ridzuan Ismail bertanding melawan calon Parti Sosialis Malaysia, Dr. Mohd Nasir Hashim yang meminjam logo PKR serta calon BN, Halimahton Saadiah Bohan dan dua calon bebas.
Pas juga berlaga dengan PKR di beberapa kerusi lain iaitu Parlimen Labuan, DUN Bukit Besi, DUN Kota Putera dan DUN Seberang Takir.
Jawatankuasa Harian PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat khas pada Isnin ini untuk membuat keputusan berikutan pertindihan calon PAS dan PKR di kerusi-kerusi itu.
"Semua ahli dan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat diminta bersabar sehingga keputusan dicapai oleh pucuk pimpinan tertinggi PAS Isnin ini," kata Penolong Setiausaha Agung Pas, Ahmad Sabki Yusof.
Sementara itu, DAP Melaka mengesahkan memecat penyandang kerusi Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him kerana bertanding sebagai calon bebas di kerusi DUN Kota Laksamana.
Anehnya, Ting Him juga bertanding kerusi Parlimen Kota Melaka dengan menggunakan simbol DAP.
Seorang lagi calon DAP 'belot' ialah penyandang kerusi DUN Teratai Jenice Lee yang mempertahankan kerusi berkenaan atas tiket Bebas setelah digugurkan daripada senarai calon DAP pada PRU-13.
Pengerusi Lembaga Disiplin DAP, Tan Kok Wai memaklumkan parti itu tidak pilihan selain memecat Jenice dan beliau ada 14 hari untuk merayu.
Jenice bagaimanapun mempersoalkan bagaimanakah beliau boleh dipecat kerana Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) tidak diiktiraf oleh Pendaftar Pertubuhan.