BN P.Pinang janji Pusat Kewangan Luar Pesisir

Tunku Nashrul Tunku Abaidah
April 18, 2013 06:11 MYT
Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang menawarkan 19 AkuJanji tambahan menerusi manifesto yang bertemakan "Pulau Pinang Yang Unggul".
Pengerusinya Teng Chang Yeow menegaskan manifesto ini adalah janji kepada semua lapisan masyarakat di negeri itu.
Jelasnya ia meliputi pelbagai aspek antaranya perumahan, kos sara hidup rakyat, pengangkutan dan pendidikan.
BN negeri turut menjanjikan pertumbuhan ekonomi yang baru untuk ‘pulau mutiara’ itu.
"Kami mahu beri kepada rakyat satu pertumbuhan ekonomi bagi memperkaya semua rakyat dan bukan satu terowong. Kami berjanji kepada rakyat bahawa kami akan selesaikan masalah trafik serta pembinaan rumah mampu milik untuk rakyat,” kata Teng.
Selain itu, jika mendapat mandat mentadbir ia akan menyaksikan Pulau Pinang menjadi pusat kewangan luar pesisir antarabangsa (IOFC) yang kedua selepas Wilayah Persekutuan Labuan.
Sekali gus membolehkan syarikat di bawahnya beroperasi dengan kos yang lebih rendah disebabkan status pelabuhan bebas cukai Pulau Pinang.
IOFC juga dijangka mampu menjana lebih banyak peluang pekerjaan untuk warga Pulau Pinang.
Sementara itu, BN turut berjanji membatalkan bayaran lesen penjaja di Pulau Pinang.
Inisiatif tersebut secara tidak langsung diharap dapat meringankan beban kewangan penjaja di negeri itu.
Rebat 10 peratus juga akan diberikan kepada peniaga yang mengamalkan konsep kitar semula demi penjagaan alam sekitar.
Selaras dengan hasrat mempromosikan Pulau Pinang sebagai syurga makanan kata Teng BN akan memperkenalkan galeri penjaja.
Beliau percaya dengan penubuhan galeri ini ia dapat menarik lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa ke Pulau Pinang.
#19 #Aku Janji #BN #Manifesto #pulau pinang #tambahan
;