BN akan terima keputusan rakyat, harap PR juga sama
Hakim Rahman
Mei 4, 2013 20:03 MYT
Mei 4, 2013 20:03 MYT
Pakatan Rakyat diminta untuk menerima apa sahaja keputusan yang dibuat rakyat dalam pilihanraya umum ke 13 akan datang.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tindakan itu bukan sahaja dilihat sebagai "gentleman" malah menghormati undang-undang dan perlembagaan negara.
Jelas Muhyiddin, Barisan Nasional juga akan berbuat perkara sama.
"Barisan Nasional akan bersikap gentlemen terhadap apa saja keputusan pilihan raya kali ini. Apa pun keputusan yang dibuat kita akan akur kerana kita mementingkan negara mesti kekal aman makmur dan sejahtera dan tidak dirosakkan oleh mana-mana pihak tidak bertanggungjawab,"
"Dan kami juga memohon agar Pakatan Rakyat turut melakukan yang sedemikian. Apa saja keputusan yang telah dibuat oleh pengundi, jika BN menang, mereka harus menerima keputusan tersebut."
Tambahnya kenyataan Pakatan Rakyat yang sering menuduh sistem pilihanraya tidak adil adalah sebahagian daripada taktik mereka untuk mencetuskan kekecohan sekiranya mereka tewas.
Tambahnya Barisan Nasional juga pernah mengalami kekalahan di beberapa negeri pada pilihan raya umum lalu dan menerima keputusan rakyat.
Sehubungan itu beliau meminta rakyat untuk membuat keputusan bijak dalam memilih parti yang mementingkan keamanan pada pilihan raya ini.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sebelum merasmikan Dewan Serbaguna di Taman Temian, Muar.
Dewan yang dibina dengan kos RM190,000 itu boleh memuatkan hingga 200 penduduk di kawasan berkenaan.