BN akan kekal mandat, kata kaji selidik UUM-MPN

Bernama
Mei 3, 2013 10:02 MYT
Barisan Nasional (BN) mempunyai harapan cerah untuk kekal memerintah negara pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mendapat sokongan majoriti pengundi, demikian menurut satu tinjauan pendapat.
Tinjauan oleh Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Majlis Profesor Negara (MPN) mendapati 58 peratus responden menyokong Najib sebagai Perdana Menteri manakala Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya memperoleh 42 peratus sokongan.
Dari segi parti yang menjadi pilihan pengundi, BN memperoleh 55 peratus sokongan, Pakatan Rakyat (PR) 41 peratus dan selebihnya memilih calon BEBAS.
Menurut tinjauan itu, Najib mendapat sokongan majoriti pengundi setiap lapisan umur, iaitu sebanyak 57.6 peratus di bawah 30 tahun menyokong beliau dan selebihnya menyokong Anwar.
"Sokongan tertinggi kepada Najib adalah daripada golongan kohort umur 30 hingga 50 tahun iaitu 59.1 peratus. Sebanyak 57.2 peratus responden yang berumur melebihi 50 tahun juga menyokong Najib," katanya.
Dari segi pecahan kaum, tinjauan itu mendapati 63.5 peratus responden Melayu menyokong Najib, Cina 35.3 peratus, India 52.7 peratus dan kaum lain 63.1 peratus.
"Najib juga memperoleh 60.6 peratus sokongan pengundi wanita dan 56.6 peratus pengundi lelaki," demikian menurut tinjauan yang dibuat pada minggu kedua tempoh berkempen iaitu pada 28 hingga 30 April lepas.
Berdasarkan dapatan kajian itu juga, BN dijangka kekal memerintah Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Perlis, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak yang menyokong penuh Najib sebagai Perdana Menteri.
Berdasarkan tahap sokongan yang agak tinggi di zon tengah, utara dan timur, BN dijangka mempunyai peluang cerah untuk menang di Selangor dan Kedah serta memberi saingan sengit kepada pakatan rakyat di Pulau Pinang dan Kelantan.
Sebanyak 72 peratus responden di zon selatan iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan menyokong Najib sebagai Perdana Menteri manakala 72 peratus responden menyatakan mereka akan mengundi BN pada PRU13, 28 peratus PR dan selebihnya BEBAS.
"BN juga dilihat mempunyai kelebihan di negeri-negeri zon tengah iaitu Wilayah Persekutuan, Selangor dan Perak. Sebanyak 53 peratus responden menyokong Najib sebagai Perdana Menteri manakala Anwar memperoleh 47 peratus sokongan.
"Dari segi parti pilihan, BN memperoleh 48 peratus sokongan, PR 47 peratus dan BEBAS 5 peratus," menurut tinjauan berkenaan.
Majoriti responden di negeri zon utara iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang juga memilih Najib sebagai Perdana Menteri dengan 55 peratus menyokong Najib dan selebihnya menyokong Anwar.
Menurut tinjauan itu lagi, BN mendahului PR sebagai parti pilihan di zon utara dengan 53 peratus sokongan, PR 43 peratus dan 4 peratus memilih calon BEBAS.
BN juga dilihat memiliki kelebihan di negeri pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu serta Pahang apabila sebanyak 55 peratus responden menyatakan sokongan kepada Najib dan 51 peratus responden menyokong BN.
Anwar hanya memperoleh 45 peratus sokongan dan 38 peratus responden memilih PR, katanya.
Dapatan kajian di Sabah dan Sarawak juga memihak kepada BN dengan 65 peratus responden menyokong Najib serta 62 peratus responden memilih BN.
"Secara keseluruhan, walaupun PR dilihat memberikan saingan yang sengit kepada BN dalam usaha menuju Putrajaya, BN dijangka masih dapat mencapai kemenangan yang selesa pada PRU13," katanya.
Tinjauan pendapat melalui panggilan telefon itu melibatkan 3,550 responden yang layak mengundi di seluruh negara dengan tahap keyakinan pada kadar 95 peratus atau 0.022 jidar selisih atau 'margin of error'.
Sampel kajian dipilih menggunakan kaedah pensampelan rawak berlapis atau 'stratified random sampling' yang diambil dari pelbagai kawasan Parlimen di seluruh negara meliputi tempoh 28 April hingga 30 April.
#Barisan Nasional #BN #MPN #najib #pilihan raya #PRU-13 #PRU13 #Putrajaya #UUM
;