Anwar dijangka umum calon PKR WP esok
Astro Awani
April 9, 2013 18:54 MYT
April 9, 2013 18:54 MYT
Parti Keadilan Rakyat dijangka akan mengesahkan nama-nama calonnya yang bakal bertanding kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan dalam pilihan raya umum kali ini, pada Rabu malam.
Pengumuman itu akan dibuat oleh Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu ceramah di Bandar Tun Razak.
Naib Presiden parti itu, Nurul Izzah dijangka akan dicalon semula mempertahankan kerusi Parlimen Lembah Pantai yang dimenanginya pada 2008 selepas menumbangkan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Anwar sebelum ini telah mengumumkan Tan Kee Kwong iaitu anak kepada tokoh pembangkang yang dihormati, Tan Chee Koon bertanding di Wangsa Maju. Kee Kwong adalah bekas pemimpin kanan Gerakan dan pernah jadi timbalan menteri sebelum menyertai PKR pada 2008.
Kerusi Wangsa Maju dijangka antara kerusi panas yang jadi tumpuan kerana majoriti tipis yang dimenangi oleh penyandangnya, Wee Choo Keong pada 2008 iaitu 150 undi. Choo Keong kemudian meninggalkan PKR dan jadi wakil rakyat Bebas pada 2010.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim disebut-sebut akan dicalonkan semula bagi kerusi Bandar Tun Razak manakala Naib Presiden PKR, Tian Chua kekal di Batu.
Dalam pilihan raya umum 2008, PKR bertanding 5 kerusi parlimen di Wilayah Persekutuan dan menang semua kerusi kecuali satu iaitu Parlimen Setiawangsa.
Kedudukan calon bagi kerusi Parlimen Setiawangsa sebelum ini jadi kontroversi selepas Pas Wilayah Persekutuan mempersoalkan tindakan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mengumumkan kerusi itu akan ditandingi oleh PKR.
Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad mendakwa pengumuman Azmin pada 3 April lepas dibuat tanpa merujuk kepada Pas dan belum mendapat persetujuan Majlis Pakatan Rakyat Wilayah Persekutuan.
"PAS Wilayah Persekutuan merasakan kenyataan Azmin tidak mencerminkan semangat setiakawan dan perpaduan antara Pakatan Rakyat khususnya peringkat Wilayah Persekutuan," katanya seperti dipetik oleh media minggu lalu.
Pengumuman Azmin itu adalah sebagai reaksi kepada pengumuman oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Pas akan bertanding kerusi Parlimen Temerloh dan Kangar sehari sebelumnya.
Dua kerusi itu pada pilihan raya 2008 ditandingi oleh PKR tetapi dalam pilihan raya sebelumnya pada 2004, ditandingi oleh Pas.
Kedudukan kerusi Parlimen Setiawangsa juga sama iaitu ditandingi oleh Pas pada pilihan raya umum 2004 sebelum diserahkan kepada PKR pada pilihan raya umum 2008.
Mohamad juga menjelaskan kedudukan siapa bakal jadi calon Pakatan Rakyat di Setiawangsa masih lagi dalam rundingan antara Pas dan PKR.