Ahli BN yang bertanding tiket bebas mungkin dipecat
Astro Awani
April 19, 2013 23:18 MYT
April 19, 2013 23:18 MYT
Mana-mana ahli parti Barisan Nasional yang bertanding atas tiket bebas dalam Pilihan Raya ke-13 akan digugurkan keahlian parti sepanjang hayat atau dipecat secara automatik.
Itu penegasan yang diberikan oleh timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang berkata keputusan itu dibuat berlandaskan kepada peraturan dalam parti.
“...Kalau mereka nak menimbulkan masalah seperti disebutkan tadi, kita harap jugak mereka harus berfikir panjang.
“Berdasarkan pengalaman, mungkin dalam sehari dua mereka berasa kecewa... mereka tutup bilik gerakan, mereka tak turun membantu jentera, atau tak pergi ceramah, nak tunjuk kekecewaan... itu perkara lumrah biasalah. Kali ini kita harap mereka tak buat begitu,” katanya.
Beliau pada masa turut mengingatkan mereka yang tidak dicalonkan semula atau tidak tercalon perlu menerima segala keputusan dengan hati terbuka dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada parti.
Katanya, setiap calon perlu bersungguh-sungguh bagi menentukan kemenangan dan beliau tidak mahu wujud perkara yang menghalang pencapaian cemerlang parti pada PRU nanti.
Muyhiddin berkata demikian selepas melawat pusat daerah mengundi, di Kampung Tengah,Sungai Terap, Pagoh.
Sebelum ini, terdapat kemungkinan calon-calon BN yang tidak dicalonkan pada PRU13 akan bertanding atas tiket bebas.