4 presiden parti komponen BN tidak bertanding
Astro Awani
April 15, 2013 21:18 MYT
April 15, 2013 21:18 MYT
Empat presiden parti komponen Barisan Nasional setakat ini sah tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei ini.
Tiga daripadanya ialah Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Datuk Seri Peter Chin Fah Kui yang sebelum ini telah menyatakan pendirian tidak bertanding bagi memberi laluan kepada muka baru.
Selepas Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan senarai calon parti itu kepada pemimpin negeri dan komponen parti hari ini, seorang lagi presiden parti komponen BN disahkan tidak akan bertanding.
Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Seri M. Kayveas tidak akan bertanding pada pilihan raya umum kali ini berdasarkan senarai calon PRU-13 yang diumumkan hari ini.
Dalam PRU-13 ini, PPP akan bertanding hanya satu kerusi Parlimen iaitu di Kepong dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Kota Laksamana di Melaka, Kota Alam Shah di Selangor, Pasir Bedamar di Perak dan Guchil di Kelantan.
Kayveas yang ditemui pemberita hari ini, berkata kerusi Parlimen Kepong akan ditandingi Pengerusi PPP Wilayah Persekutuan, Datuk A. Chandrakumanan.
Naib Presiden PPP, Senator Datuk Chiw Tiang Chai calon di DUN Kota Laksamana, Bendahari PPP Perak, Kerk Guan Chuan calon di DUN Pasir Bedamar manakala Naib Presiden PPP Datuk Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff bertanding di DUN Manik Urai.
Kerusi DUN Kota Alam Shah pula akan ditandingi sama ada oleh Datuk Maglin Dennis D'Cruz atau seorang lagi calon yang sudah dikenal pasti.