2,000 borang penamaan calon sudah dibeli - SPR
Bernama
April 18, 2013 18:11 MYT
April 18, 2013 18:11 MYT
Hampir 2,000 borang penamaan calon telah dibeli oleh calon parti politik yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata daripada jumlah itu 800 borang dibeli oleh calon bebas.
"SPR menjangkakan jumlah itu akan meningkat memandangkan masih ada lagi masa untuk pembelian borang itu sebelum hari penamaan calon Sabtu ini," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata berdasarkan laporan media, SPR menjangkakan ramai calon bebas akan bertanding pada pilihan raya ini.
"SPR juga telah mengenal pasti kawasan yang dijangka panas dan bekerjasama dengan polis bagi memastikan aspek keselamatan terjamin," katanya.
Justeru itu SPR menasihatkan calon bertanding tidak membawa penyokong yang ramai untuk mengelakkan berlaku insiden provokasi.
Pada masa sama, Abdul Aziz mengingatkan calon bertanding untuk menyerahkan borang pencalonan mengikut masa ditetapkan iaitu 9 hingga 10 pagi pada hari penamaan calon.
Semua calon juga perlu mengisi Borang 5 (Akaun Berkanun Orang Yang Dinamakan Sebagai Calon Pilihan Raya bagi Parlimen) dan Borang 5A (Akaun Berkanun Orang Yang Dinamakan Sebagai Calon Pilihan Raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN)).
Selain memastikan semua syarat kelayakan dipatuhi calon turut dinasihat untuk membayar deposit iaitu RM10,000 bagi Parlimen dan 5,000 bagi DUN sehari sebelum dan hanya membawa resit pada hari pencalonan.
"Ini bagi memudahkan lagi urusan namun sekiranya calon ingin membayar pada hari penamaan calon hanya bank draf dan tunai sahaja diterima. Cek persendirian tidak dibenarkan," katanya.