1.4 juta penjawat awam diingat tunaikan tanggungjawab
Bernama
April 30, 2013 20:18 MYT
April 30, 2013 20:18 MYT
Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa hari ini mengingatkan kira-kira 1.4 juta penjawat awam di negara ini agar menunaikan tanggungjawab pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) dengan keluar mengundi Ahad ini.
"Bagi penjawat awam memang saya telah nyatakan banyak kali, pergilah mengundi dan mengundi ini adalah hak individu. Setiap penjawat awam harus mengundi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Penyiaran Malaysia di Angkasapuri di sini.
Beliau berkata program transformasi negara perlu diteruskan dan penjawat awam dilihat bersedia untuk melaksanakan kesemua dasar yang disenaraikan di bawah program transformasi itu.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Kamaruddin Siaraf serta Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Norhyati Ismail.