Zon pencarian MH370 dijangka berpindah
Haider Yutim
Jun 10, 2014 21:32 MYT
Jun 10, 2014 21:32 MYT
Pasukan penyiasat yang ditugaskan mengesan pesawat Penerbangan Malaysia MH370, mungkin beralih ke zon pencarian baharu setelah membuat kajian semula tentang beberapa andaian asas mereka.
Menurut laporan Wall Street Journal yang memetik kenyataan sumber, cadangan terkini itu timbul berikutan beberapa ketidakpastian berhubung kelajuan, laluan penerbangan serta altitud pesawat Boeing 777-200 itu yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Menurut Wall Street Journal lagi, sehingga pesawat itu ditemui, andaian yang dibuat sebelum ini termasuk kemungkinan pesawat itu terbang beberapa jam dan jatuh di selatan Lautan Hindi, hanya masih tekaan berdasarkan pengetahuan.
Setakat ini tiada keputusan akhir telah dicapai mengenai fokus pencarian semula itu dan kawasan yang terlibat dijangka akan didedahkan kepada umum seawal pertengahan Jun ini.
Jika langkah berpindah ke zon baharu dibuat, ia akan menjadi pertukaran tempat kali ketiga dalam tempoh kurang tiga bulan.
Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) sebelum ini pernah berkata, tindakan memindahkan operasi pencarian ke kawasan baharu bukan perkara luar biasa.
Sebaliknya, menurut Pengurus Besar Divisyen Respons Kecemasan, John Young, perkara seperti itu sentiasa berlaku dalam sebarang misi mencari dan menyelamat (SAR).
Katanya lagi, langkah itu seiring dengan maklumat baharu yang diterima ketika operasi dijalankan.
Kerajaan Malaysia setakat ini telah membelanjakan kira-kira RM27.6 juta dalam usaha mencari pesawat tersebut, namum ia hanyalah sebahagian kecil daripada jumlah yang telah dibelanjakan oleh kerajaan Australia.
Hampir AU$90 juta (RM269.34 juta) diperuntukkan kerajaan Australia dalam misi mencari MH370 dimana AU$25 juta (RM74.9 juta) adalah untuk pasukan pertahanan manakala AU$60 juta (RM 179.76 juta) pula diperuntukkan bagi misi pencarian dalam laut.