Sidang media batal: Jenaka apa yang DCA cuba lakukan? - Waris MH370

Wan Syamsul Amly
Januari 29, 2015 16:31 MYT
WARIS MH370: Sidang media batal: Jenaka apa yang DCA cuba lakukan? - Gambar fail
Waris kepada seorang penumpang MH370 yang enggan dikenali menyatakan kekecewaan kerana sidang media berhubung pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang lebih 10 bulan yang lalu dibatalkan tanpa sebarang alasan yang munasabah.
Bagaimanapun jelasnya, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) seharusnya memaklumkan secara peribadi kepada keluarga waris sebelum membuat keputusan untuk mengadakan sidang media berkenaan.
Ujarnya, situasi itu turut disifatkan 'jenaka' DCA yang tidak harus dilakukan pada saat semua waris menanti-nanti khabar terkini berkenaan pesawat malang berkenaan.
"Tidak tahu hendak cakap apa lagi. Sepatutnya maklum secara peribadi kepada keluarga baru adakan sidang media.
"What a joke (Jenaka apakah ini?)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Panggilan sidang media tergempar yang dijadual diadakan di Putrajaya itu dimaklumkan kepada media melalui satu e-mel yang dikirimkan pada pagi Khamis.
"Jabatan Penerbangan Awam Malaysia dijadual memberikan perkembangan mengenai insiden MH370," tulis e-mel berkenaan.
E-mel itu juga memaklumkan satu taklimat teknikal berhubung misi mencari pesawat yang hilang itu akan diadakan pada petang Jumaat.
Pesawat jenis Boeing 777-200ER itu hilang 40 minit setelah berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing pada 8 Mac tahun lalu. Ia membawa 239 penumpang dan anak kapal, termasuk 50 orang rakyat Malaysia.
Dalam pada itu jelas waris berkenaan, dia juga tidak dimaklumkan apa-apa mengenai sidang media itu sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan kepada seluruh waris penumpang lain.
"Tolonglah cari punca kenapa ia (sidang media) dibatalkan. Kami memang tidak tahu apa-apa dan mahu tahu apa yang sudah terjadi sekarang," ujarnya.
Sebelum ini, ada waris meluahkan perasaan kepada Astro AWANI mengenai kekaburan dari segi tanggungjawab terhadap keseluruhan kejadian itu.
Tegas waris berkenaan, ada pihak harus tampil untuk menggalas bertanggungjawab terhadap keseluruhan kejadian yang terjadi.
Sebelum ini juga, isteri pramugara penerbangan MH370 Mohd Hazrin Hasnan, Intan Maizura Othaman masih menaruh harapan tinggi untuk menanti kepulangan suaminya sama ada masih hidup atau 'sudah tiada lagi'.
Ujarnya, keluarga penumpang dan krew pesawat MH370 sentiasa menanti kepulangan insan tersayang walau apa terjadi kepada mereka sejak peristiwa malang 8 Mac lalu.
#Beijing #DCA #keluarga #MH370
;