Senarai model CPU Intel Arrow Lake tertiris, akan ke pasaran pada 10 Oktober ini
Amanz
Ogos 19, 2024 13:00 MYT
Ogos 19, 2024 13:00 MYT
SIRI cip pemprosesan desktop Intel Arrow Lake dijangka akan hadir pada suku ketiga atau keempat tahun ini.
Tetapi melalui laporan daripada laman web teknologi China Benchlife, nampaknya keseluruhan senarai cip pemprosesan Intel tersebut dan juga tarikh pelancarannya sudahpun tertiris.
Seperti yang dijangka, cip pemprosesan Arrow Lake adalah siri cip desktop pertama yang akan menggunakan nama model baharu Core Ultra seperti apa yang diperlihatkan melalui siri cip pemprosesan Intel Meteor Lake pada tahun lepas.
Menurut laporan tersebut juga, Intel dijangka akan mula memasarkan sejumlah daripada cip pemprosesan ini, yang terdirii daripada model-model Intel Ultra siri K, KF dan F di mana model dengan nama F tidak akan hadir dengan komponen cip pemprosesan grafik Intel Arc terbina.
Model-model yang lain pula dikatakan akan dijual pada tarikh yang akan diumumkan kelak.
Dari segi sokongan papan induk, Intel akan memperlihatkan sokongan untuk cipset Intel 800 yang akan terdiri daripada papan induk Z890, B860 dan H870.
Kesemua papan-papan induk ini akan hadir dengan sokongan untuk Thunderbolt 4.0 dan tidak lagi menyokong memori DDR4.
Butiran lanjut mengenai siri cip pemprosesan Intel ini dijangka akan diperlihatkan dalam masa terdekat ini. -Amanz