Posisi oleh Sistem Pengesan Pesawat hanyalah anggaran, bukan sebenar - MAS

Astro Awani
Mei 2, 2014 07:29 MYT
-- gambar fail
Sistem Pengesan Pesawat yang digunakan untuk menjejaki posisi sesebuah pesawat adalah berdasarkan anggaran dan bukanlah posisi sebenar pesawat.
Ini telah disahkan oleh Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) di dalam sebuah kenyataan media pada Jumaat.
Penjelasan tersebut dikeluarkan susulan dari penukaran signal di antara Pusat Kawalan Trafik Udara dan pesawat sebaik sahaja Pusat Kawalan Udara Ho Chi Minh melaporkan hubungan komunikasi dengan pesawat MH370 sudah terputus, seperti yang termaktub di dalam laporan awal tragedi MH370.
Di dalam kenyataan media itu lagi, MAS menerangkan signal yang tertera pada Sistem Pengesan Pesawat berdasarkan anggaran data semasa kejadian pada 8 Mac lalu, dan bukannya posisi yang sebenar.
“Apabila Penyelia Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KL-ATCC) bertanyakan bahagian Operasi MAS (OPS) mengenai status pesawat MH370, OPS memaklumkan kepada penyelia KL-ATCC bahawa di dalam Sistem Pengesan Pesawat, MH370 masih dilihat berada di ruang udara Kemboja- itu berdasarkan data yang diterima ketika itu.
“Perkataan ‘Cambodia’ terpapar pada Sistem Pengesan Pesawat jika dilihat secara dekat dan ia memberi penunjuk kepada MAS untuk menyimpulkan bahawa pesawat telah terbang di ruang udara Kemboja. Sistem tersebut tidak mempamerkan nama ‘Vietnam’ walaupun pesawat itu telah melepasi ruang udara Vietnam” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, satu kekeliruan telah timbul apabila Sistem Pengesan Pesawat menunjukkan lokasi pesawat MH370 berada di ruang udara Kemboja, sedangkan kawasan tersebut bukanlah laluan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
MAS berkata adalah satu kebiasaan untuk sistem itu digunakan dalam membantu juruterbang dalam menangani kondisi cuaca atau perubahan arah laluan.
Jika ada keadaan yang abnormal dengan pesawat, ia tidak dapat ditunjukkan oleh Sistem Pengesan Pesawat tersebut.
MAS berkata lagi, untuk menjadikan Sistem Pengesan Pesawat tersebut berfungsi secara efektif, adalah penting agar ia mempunyai gambaran visual kedudukan pesawat ditambah dengan pengesahan melalui komunikasi udara-ke-darat seperti melalui ACARS, Satcomm, VHF atau HF.
Di dalam kes menjejak MH370, Sistem Pengesan Pesawat menunjukkan pesawat itu sedang terbang namun tiada komunikasi dikesan dari pesawat atau juruterbang yang terlibat.
#MH370 #Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KL-ATCC) #Sistem Pengesan Pesawat #Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS)
;