Polis nafi tahu punca kehilangan MH370

Bernama
September 14, 2014 21:57 MYT
Polis nafi tahu punca kehilangan MH370
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan laporan media Indonesia bahawa pihaknya mempunyai pengetahuan mengenai punca sebenar kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, yang menjadi misteri kepada dunia sejak ia hilang 8 Mac lalu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kepada Bernama beliau tidak mempunyai maklumat tersebut dan terkejut dengan laporan media itu.
"Saya nak tahu akhbar apa dan bila berita itu disiarkan. Saya akan tanya rakan saya Kapolri (Ketua Polis Republik Indonesia) sama ada beliau ada berkata begitu.
"Saya tidak dimaklumkan tentang perkara ini," katanya hari ini.
Laporan berita Indonesia, Tempo.co, semalam memetik ketua polis republik tersebut, Jeneral Sutarman sebagai mendakwa kononnya pihaknya dan Polis Malaysia mengetahui punca pesawat itu hilang tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya.
Penerbangan MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal.
Pesawat Boeing 777 itu masih belum ditemui walaupun pencarian besar-besaran telah dilakukan di selatan Lautan Hindi, tempat pesawat itu dipercayai berakhir.
#Ketua Polis Negara #MH370 #PDRM
;