Operasi Bluefin-21 hampir ke penghujung, masih tiada kelibat MH370

Astro Awani
April 25, 2014 14:15 MYT
Kenderaan AUV Bluefin-21
Operasi pencarian pesawat Penerbangan Malaysia, MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, masuk hari ke 49 dengan masih tiada sebarang maklumat yang dapat memberi jawapan pasti kepada misteri kehilangan pesawat itu.
Sehingga kini kenderaan AUV Bluefin-21 telah melengkapkan hampir 95 peratus operasinya dan tiada petunjuk jelas setakat ini yang dapat membantu mengenapasti lokasi sebenar pesawat yang hilang itu.
Menurut Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA), pencarian hari ini membabitkan 8 pesawat dan 10 kapal di kawasan seluas 49,240 kilometer persegi dengan kawasan pencarian akan tertumpu sekitar 1584 kilometer ke Timur Laut Perth.
Bluefin-21 juga akan memulakan operasi ke-13nya pagi ini, masih tertumpu sekitar 10km radius dari isyarat ping yang dikesan pada 8 April lalu.
Penerbangan MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian semasa terbang di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi 8 Mac.
Misi pencarian yang disertai pelbagai negara digerakkan bagi menjejaki pesawat MH370 itu, mula-mula di Laut China Selatan selepas pesawat itu menyimpang daripada laluan asal, di selatan Lautan Hindi.
#Australia #dron #Hishammuddin #MAS #MH370 #Najib Razak #penerbangan Malaysia #Perth #Tony Abbott
;