MH370: Tiada objek berkaitan ditemui dalam misi sulung Bluefin-21 - JACC
Bernama
April 16, 2014 12:46 MYT
April 16, 2014 12:46 MYT
Tiada objek berkaitan dengan kepentingan pencarian ditemui daripada data yang dikumpul oleh kenderaan dalam air autonomi (AUV) Bluefin-21 pada Isnin lepas, untuk membantu mengesan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang.
Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) berkata ini berdasarkan kepada analisis kesemua data yang dikumpul selama enam jam.
Bluefin-21 meneruskan operasi pencarian pada Selasa malam selepas diturunkan dari kapal pertahanan Australia, Ocean Shield untuk misi kedua, menurut agensi itu dalam kenyataan di sini hari ini.
Ketua penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Ketua Marsyal Udara (Bersara) Angus Houston dalam sidang media pada Isnin berkata setiap misi Bluefin-21 akan memakan masa sekurang-kurangnya 24 jam, termasuk empat jam untuk memuat turun serta menganalisis data yang dikumpul.
Bluefin-21 dilengkapi sistem pengesan sonar menggunakan bunyi akaustik untuk menghasilkan peta tiga dimensi di dasar laut, dihantar untuk membantu mengesan sebarang serpihan pesawat Malaysia yang hilang.
Ia diturunkan dari kapal Ocean Shield dalam misi sulungnya ke kawasan 40 kilometer persegi bagi meneruskan misi pencarian MH370 di dasar laut, memandangkan tiada isyarat sah dikesan oleh alat pengesan pinger yang ditunda (TPL) sejak 8 April lepas.
Kenyataan itu berkata operasi hari ini akan membabitkan kawasan pencarian visual meliputi kawasan seluas 55,151 kilometer persegi, dengan pusat kawasan carian terletak kira-kira 2,087 kilometer ke barat laut Perth.
Operasi pencarian itu membabitkan 11 pesawat tentera dan tiga pesawat awam serta 11 kapal.
"Ramalan cuaca hari ini dipengaruhi tiupan angin timur selatan dengan hujan dan ribut petir, keadaan laut berombak setinggi dua meter dan tahap penglihatan lima kilometer," katanya.
Penerbangan MH370 bersama 239 orang berlepas pada 8 Mac dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian diperluas ke Selat Melaka serta Laut Andaman dan kini di selatan Lautan Hindi.
Analisis yang dibuat terhadap data satelit menunjukkan pesawat itu terbang di sepanjang laluan yang dikenali sebagai 'koridor selatan' dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.
Pada 24 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".