MH370: "Saya sekarang nak besarkan anak-anak," rintih sang suami

Wan Syamsul Amly
April 5, 2014 11:14 MYT
Azrai Izet, suami kepada Fadzilah Abd Rahim yang hilang bersama penerbangan MH370 sejak 8 Mac lalu. --foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pertama kali penulis melihat kelibat suami penumpang MH370 Fadzilah Abd Rahim iaitu Azrai Izet, ialah ketika dia teresak-esak menangis di sisi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada 9 Mac di kaca televisyen.
Pada masa itu, satu dunia melihat rayuan Azrai dilontar kepada Rosmah yang berharap supaya MH370 dicari selain berulang kali menyatakan dia mempunyai empat orang anak.
“Tolonglah cari puan (Rosmah), anak saya empat orang semua, yang kecil dua tahun,'' ulang Azrai dalam sedu sehingga kedengaran seperti dengar tidak dengar permintaannya.
Itu salah satu daripada tangisan keluarga penumpang dan krew MH370 yang penulis rasakan tidak pernah putus doa mengharap pesawat itu ditemui semula.
Ia tidak termasuk air mata seluruh rakyat negara ini yang menitis pada waktu bersujud pada Yang Maha Esa berdoa agar misteri ini segera bertemu jawapannya.
Dan seandainya doa dari seluruh dunia terhadap MH370 ini ditafsir kepada air hujan, tidak keterlaluan jika penulis mengandaikan ia mampu menutup permukaan Lautan Hindi yang merupakan lautan ketiga terbesar di dunia itu.
Penulis cuba mengenali Azrai melalui laman sosial, Facebook, menghantar pesanan untuk bersahabat namun tidak menerima respons sehingga hari ini.
Apa yang penulis tahu, status terakhir Azrai di Facebook meminta rakan-rakan agar mendoakan keselamatan isterinya yang turut berada dalam pesawat ke Beijing itu.
Isterinya merupakan antara 20 orang pekerja Freescale Semiconductor yang berada di dalam MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Menerusi Facebook, penulis mendapat tahu salah seorang anak Azrai merupakan pelajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah (SERATAS), Taiping, Perak.
Azrai dan Nor Fadzillah mempunyai empat orang anak, tiga lelaki dan seorang perempuan, masing-masing berumur 13, 10, empat dan dua tahun.
Kurang seminggu sebelum genap sebulan insiden MH370 terjadi, penulis berkesempatan bertemu sendiri Azrai pada majlis bacaan Yaasin dan solat hajat Alumni Sekolah Alam Shah (ASAS) pada 3 April.
Walau benak fikiran menyimpan 1001 persoalan dan pertanyaan kepasa Azrai mengenai perasaan, harapan, kehidupan, anak-anak, kerja dan sebagainya, ia seolah-olah hanya berlegar di peti suara yang kehilangan kunci pintu untuk meluahkan suara.
Penulis buntu dan tidak tahu bagaimana hendak memulakan bicara.
Usai solat hajat dan Isyak berjemaah dengan lebih kira-kira 400 pelajar dan bekas pelajar Sekolah Alam Shah (Azrai merupakan bekas pelajar pada tahun 1993), penulis gagahkan langkah untuk menghampirinya, bersalam dan menutur senyum.
Azrai memandang dan mengangguk, kotak fikiran saya laju mengimbas rakaman semula di kaca televisyen, batang tubuh kecil inilah salah seorang yang penulis lihat teresak-esak di KLIA awal Mac lepas.
Dan penulis yakin tangisan seluruh keluarga penumpang serta krew MH370 semakin lebat sebaik sahaja selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan MH370 berakhir kira-kira 2,500 kilometer dari barat daya Perth, Australia pada 25 Mac lalu.
“Tak payah tanya apa-apa lagilah, saya mahu jaga keempat-empat anak,'' ujarnya perlahan.
Penulis terkedu, Azrai berjalan perlahan penuh longlai ke dewan makan untuk jamuan kecil-kecilan selepas majlis solat hajat ditemani warga ASAS lain.
Menuruti langkah mereka, penulis melihat Azrai berpimpinan dengan seorang anak lelakinya yang berumur empat tahun.
Penulis tatap wajah keduanya, mengharap sebaris dua ayat daripada Azrai atau anaknya yang mungkin boleh direkod melalui kamera video untuk dikongsi simpati bersama seluruh rakyat, namun harapan tinggal harapan.
Selepas makan, Azrai bersalaman dan meninggalkan nombor telefonnya untuk dihubungi, kemudian berlalu.
Sebelum itu, seorang pakcik yang memperkenalkan dirinya sebagai bapa mertua Azrai, menepuk perlahan belakang penulis dan berkata;
“Tak payah tanya apa-apa lagilah, Azrai sekarang mahu jaga keempat-empat anaknya.''
##MengenangMH370 #Beijing #China #Fadzilah Abd Rahim #Freescale Semiconductor #Kuala Lumpur #MH370 #penerbangan Malaysia
;