MH370: 'Saya masih tunggu Safuan, belum fikir tentang pampasan' - Jalwati

Wan Syamsul Amly
Februari 13, 2015 17:36 MYT
JALWATI: MH370: 'Saya masih tunggu Safuan, belum fikir apa-apa tentang pampasan' - Gambar fail
Kurang satu bulan sebelum genap setahun kehilangan pesawat malang MH370, isteri mangsa tragedi, Safuan Ramlan masih tidak mahu bercakap mengenai pampasan dan masih yakin menanti sesuatu berita dalam waktu terdekat.
Jalwati Jalil menegaskan, dia tidak lagi mengambil pampasan yang ditawar kerana masih menunggu situasi dan mahu melihat perkembangan isu ini dari sudut tersendiri.
"Tempoh yang diberi adalah dua tahun, saya masih belum memikirkan pampasan dan tidak lagi meneruskan proses tuntutan yang ditawar kerajaan.
"Mana-mana keluarga yang mahu boleh membuat tuntutan pampasan itu pada badan berkenaan, saya juga tidak ada sebarang makluman mengenai keluarga lain yang sudah atau belum mengambil pampasan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jalwati berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertemuan 15 waris mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dari China yang hadir ke ibu pejabat syarikat penerbangan itu bagi mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya.
MAS dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, tiga daripada waris mangsa telah menyerahkan surat kepada syarikat itu dan meminta maklum balas dalam tempoh terdekat.
Sebelum ini, Jalwati dilaporkan mahu agensi berkenaan untuk memberitahu di mana lokasi suaminya dan tidak gilakan wang pampasan.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga sebelum ini dilaporkan akan memulakan proses pengurusan bayaran faedah kepada waris mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 yang layak.
Pada 29 Januari, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengumumkan insiden kehilangan pesawat MH370 secara rasmi diisytiharkan sebagai satu kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu dianggap terkorban.
Dalam pada itu kata Jalwati, pihak MAS diakui kerap menghubunginya untuk bertanya khabar dan meminta memaklumkan mereka jika memerlukan sebarang bantuan.
"Selain itu tidak ada apa-apa perkembangan, cuma kami menanti tarikh untuk mesyuarat khas MAS bersama keluarga waris penumpang MH370 yang masih belum dimaklumkan," katanya.
Ketua Komunikasi Strategik MAS, Datuk Najmuddin Abdullah juga sebelum ini memaklumkan MAS sentiasa telus dalam penyebaran maklumat kepada waris dan menggesa semua pihak agar dapat menghormati para waris selain tidak cuba untuk mengada-adakan perkara yang tidak ada.
Pesawat Boeing 777 yang membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang itu hilang daripada radar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam, 8 Mac, 2014.
Ia dijadualkan mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
#DCA #keluarga #MH370 #pampasan
;