MH370:Pencarian tidak dilakukan di kawasan 'panas' yang dikesan Inmarsat - Saintis
Agensi
Jun 17, 2014 16:17 MYT
Jun 17, 2014 16:17 MYT
Pencarian pesawat Penerbangan Malaysia, MH370 belum menyasarkan lokasi sebenar di mana ia benar-benar hilang, setelah operasinya terganggu buat seketika ekoran pengesanan isyarat palsu sebelum ini, kata syarikat Inmarsat.
Seorang saintis Inmarsat, Chris Ashton memberitahu rancangan Horizon terbitan syarikat penyiaran British, BBC bahawa syarikat itu telah membuat perkiraan lokasi ‘panas’ yang terletak di Lautan Hindi di mana pesawat itu dipercayai hilang.
Pesawat malang itu hilang dari pengesanan radar pada 8 Mac lalu ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, menuju ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal.
Selepas itu, beberapa jam isyarat ping dari pesawat MH370 dikesan Inmarsat yang telah membawa kepada pengiraan jarak serta lokasi pesawat.
Susulan itu juga kapal Ocean Shield milik Australia telah dikerahkan ke kawasan terbabit untuk menyiasat, namun sebelum sampai ke lokasi maklumat yang dibekalkan Inmarsat, kapal terbabit telah mengesan bunyi isyarat yang dipercayai datang dari kotak hitam milik pesawat itu.
Selama dua bulan masa dihabiskan oleh pasukan pencari dan penyelamat untuk mencari di kawasan seluas 850 kilometer persegi di bahagian Timur Laut Perth.
Namun tiada sebarang kesan pesawat ditemui oleh kenderaan robotik Bluefin-21.
“Ia bukan bermaksud kawasan carian adalah lokasi yang tidak pasti, tapi besar kemungkinan ia berada jauh dari kawasan jangkaan” kata Ashton kepada Horizon.
Pakar-pakar dari firma satelit telah memodelkan kemungkinan laluan penerbangan berpandukan isyarat ping yang diterima dengan menganggap kelajuan pesawat konsisten menggunakan autopilot.
“Kita boleh mengenalpasti laluan yang sepadan dengan kiraan frekuensi dan kiraan masa di lengkok terakhir pesawat dan kemudian kiraan akan memberi kita satu kawasan ‘panas’ yang dipercayai lokasi terakhir pesawat MH370” terang Ashton mengenai kawasan pencarian.