MH370 : "Nenek, mana atuk saya?"

Nabihah Hamid
Jun 19, 2014 09:00 MYT
MH370 : "Nenek, mana atuk saya?", keluh cucu Patrick
Raphael Ariano, 3, setia menunggu kepulangan datuknya yang masih hilang dengan pesawat MAS MH370 sejak 8 Mac lalu. - Foto Astro AWANI
"Where is my grandpa, nanny?" Itulah persoalan yang diajukan cucu Patrick Francis Gomez setiap kali terkenang ketiadaan datuknya.
Ia adalah persoalan yang tidak mampu dijawab neneknya.
Patrick merupakan penyelia pesawat MH370 yang hilang lebih 100 hari sejak 8 Mac lalu. Cucu tunggal lelakinya, Raphael Ariano, berusia tiga tahun sejak kebelakangan ini sering bertanyakan mengenai datuknya.
Isteri kepada Patrick, Jacquita Gonzales hampir buntu kerana masih tidak mampu memberikan sebarang jawapan kepada cucunya. Hampir di suatu ketika katanya, akibat terlalu rindu Raphael akan mengambil telefon pintarnya dan terus mendail nombor Patrick.
"I want my grandpa, jika dia ada dia boleh temankan saya," itulah ayat yang sering diulangi Raphael kepada keluarganya.
"Where is my grandpa, nanny?", keluh cucu Patrick - Foto Astro AWANI
Menurut Jacquita cucunya akan selalu duduk dikerusi kegemaran Patrick hampir setiap hari.
'Harapan masih tinggi'
Selagi tidak menerima bukti kukuh, Jacquita dan keluarga masih percaya bahawa Patrick masih hidup.
"Kita tidak ada jumpa serpihan, malah apa sahaja bukti yang menunjukkan kapal itu terhempas. Jika ya mesti ada barang yang tercicir, seperti jaket keselamatan mahupun kerusi kapal terbang yang hanyut bukan?
"Sebelum kami sekeluarga tidur, kami akan sentiasa berdoa agar Patrick pulang dengan selamat," ujarnya.
Sambil menahan sebak, wanita setengah abad itu masih meletakkan harapan yang tinggi bahawa mereka akan menerima khabar baik dari MAS suatu hari nanti.
"Kami berharap, kami berdoa setiap hari bahawa MAS akan menghubungi kami dan memberikan perkhabaran yang baik,"
"Tidak pernah terlintas untuk kami melupai Patrick. Selagi tidak menjumpai bukti kukuh bahawa Patrick sudah tiada, kami tidak dapat membuat upacara pengkebumian. Kami masih lagi tidak tenang sehingga kini.
"Jika tidak, kami tidak terima bahawa MH370 berakhir di lautan hindi," tegasnya ketika ditanya wartawan mengenai harapannya terhadap pencarian kapal penerbangan nasional yang hilang lebih dari 100 hari itu.
'Bukan pampasan tetapi jawapan'
Isu pampasan membuatkan ibu kepada empat anak ini sensitif. Jacquita menegaskan bahawa pampasan bukanlah perkara utama baginya tetapi jawapan mengenai misteri kehilangan MH370.
"Ramai yang ingat kami terima pampasan yang banyak. Bukan pampasan jadi keutamaan tetapi kami mahukan jawapan. Kini sudah lebih 100 hari namun tiada apa-apa perkembangan," katanya.
Jacquita turut berharap bahawa isu memberikan pampasan kepada keluarga selepas ini tidak disebarkan secara terbuka melalui media.
"Tidak perlu dihebahkan kerana ia mungkin membahayakan keluarga. Mungkin masyarakat ingat kami kaya dan ingat kami banyak duit. Mana tahu kalau ada orang mahu kidnap?"
Selagi tidak menerima bukti kukuh, Jacquita dan keluarga masih percaya bahawa Patrick masih hidup. - Foto Astro AWANI
Jacquita turut memberitahu bahawa baru-baru ini dirinya hampir diragut di hadapan sebuah bank di Petaling Jaya.
Pesawat MH370 hilang tanpa dapat dikesan sejak 8 Mac lalu selepas sejam selepas berlepas dari lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur KLIA untuk ke Beijing.
#Jacquita Gonzales #Lautan Hindi #MAS #MH370 #Patrick Francis Gomez
;