MH370: Misi SAR diteruskan, cuaca dijangka baik

Astro Awani
April 4, 2014 08:33 MYT
Sebanyak 10 pesawat tentera , empat jet awam dan sembilan kapal akan membantu dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Boeing 777-200ER milik Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370.
Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) telah menyiapkan kawasan carian kira-kira 217,000 kilometer persegi, 17,000 kilometer barat laut Perth.
Kawasan carian hari ini akan memberi tumpuan kepada tiga bidang dalam kawasan yang sama.
Pesawat pertama akan berlepas ke kawasan carian tersebut pada jam 6 pagi.
Seramai 26 sukarelawan dari Australia Barat, New South Wales dan Victoria akan bertindak sebagai pemerhati udara di tiga pesawat awam. Pesawat awam yang lain akan beroperasi sebagai geganti komunikasi.
Cuaca diramalkan baik hari ini dengan jarak penglihatan kira-kira 10 kilometer.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia terus menghalusi kawasan di mana pesawat itu memasuki air berdasarkan analisis teknikal pelbagai disiplin komunikasi satelit dan prestasi pesawat, yang diperolehi dari pasukan penyiasat antarabangsa yang terdiri dari penganalisis dari Malaysia, Amerika Syarikat, UK, China dan Autsralia.
#amsa #hilang #kl-beijing #MAS #MH370 #SAR
;