MH370: Menteri Pertahanan ASEAN sepakat puji usaha Malaysia - Hishammuddin
Astro Awani
April 5, 2014 17:20 MYT
April 5, 2014 17:20 MYT
Persidangan Menteri-menteri Pertahanan ASEAN di Honolulu, Hawaii sepakat memuji tindakan Malaysia dalam operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) pesawat MH370 sebagai yang terbaik.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, gandingan 26 buah negara yang membantu dalam misi SAR menjadi bukti kerajaan Malaysia melaksanakan tanggungjawab terbaik walaupun berdepan misi luar biasa.
Persidangan itu sepakat bahawa insiden kehilangan pesawat berkenaan adalah luar biasa dan tidak pernah dilalui mana-mana negara di dunia.
“Apa yang berlaku dalam kes MH370 merupakan satu perkara luar biasa dimana ia tidak pernah dilalui oleh dunia. Ia bermakna bahawa industri penerbangan dan juga perkara berkaitan ketenteraan dan pertahanan mesti dilihat semula dan ASEAN sebagai satu entiti melihat kecanggihan teknologi yang ada, radar satelit, aset yang ada semua dalam konteks kepentingan ASEAN,” kata Hishammuddin.
Beliau berkata demikian semasa hadir merasmikan Karnival Rakyat Parlimen Masjid Tanah di DUN Lendu di Pusat Latihan Rela Wilayah Selatan di Sungai Udang.
Katanya, semua Menteri Pertahanan ASEAN sepakat bahawa industri penerbangan di rantau ini perlu dinilai semula dan memerlukan teknologi lebih canggih.
Sementara itu, kerajaan masih menaruh keyakinan kotak hitam pesawat MH370 boleh ditemui walaupun tempoh hayat baterinya hanya tinggal sehari.
Hishammuddin berkata, ketika ini usaha SAR kini tertumpu kepada mengesan kotak hitam yang dipercayai berada di sekitar Lautan Hindi iaitu lokasi terakhir pesawat itu dikesan.
“Saya agak kagum dengan semangat negara luar membantu misi ini apabila menerima panggilan daripada Menteri Pertahanan UK bahawa kapal selam nuklear telahpun berada di kawasan berkenaan. Kapal dari China juga dalam perjalanan ke sana.
“Kita mempunyai pesawat dan juga beberapa kapal yang sedang difikirkan untuk dijadikan aset tambahan seperti diumumkan Perdana Menteri Australia. Ini bermakna kita belum putus asa dan akan terus mencari MH370. Saya harap seluruh rakyat Malaysia terus berdoa agar kami dapat petanda positif dalam operasi ini,” tambah Hishammuddin.