MH370 menguji semangat kerjasama dua hala dan serantau - Hishammuddin

Bernama
April 14, 2014 09:05 MYT
Hishammuddin ketika merasmikan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) di sini malam Ahad
Insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 telah menguji semangat kerjasama dua hala dan serantau yang berkesan antara negara, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Ketika merasmikan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) di sini malam Ahad, beliau berkata, kehilangan pesawat MH370 menjadi peringatan tentang kemerosotan nilai-nilai kehidupan dan perlunya menghargai hubungan antara negara.
"Melalui kesedihan yang kita rasai, satu perkara yang jelas, dunia adalah satu komuniti, dan kita adalah warga sejagatnya," kata Hishammuddin yang juga pemangku Menteri Pengangkutan.
Dalam hubungan ini, beliau berkata Malaysia berpendapat keperluan bagi peningkatan kerjasama strategik antara kerajaan belum pernah menjadi terdesak seperti sekarang di tengah-tengah senario dan keselamatan dunia yang berkait-kait.
Hishammuddin menarik perhatian bahawa walaupun masih terlalu awal untuk memperkatakan tentang pengajaran daripada episod MH370 itu, dua perkara adalah jelas.
"Kami harus berada dalam kesiapsiagaan untuk menghadapi sebarang ancaman yang mungkin berlaku pada bila-bila masa atau bentuk atau dimensi," katanya.
Di samping itu, kepimpinan industri pertahanan perlu menjurus ke arah pemikiran minda supaya lagi terjerumus dalam keadaan tidak bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan atau keadaan.
Beliau berkata tidak ada negara yang boleh melakukannya bersendirian sambil berkata seperti kebanyakan kerajaan di seluruh dunia yang mahu menggemblengkan sumber untuk meningkatkan keupayaan pertahanan, keperluan untuk mengimbangi agenda ini dengan keperluan domestik yang lain juga tidak kurang pentingnya.
Hishammuddin berkata dalam hubungan ini, adalah penting untuk memupuk hubungan baik dalam bidang pertahahan dan diplomatik dengan negara-negara lain.
Penerbangan MH370 bersama 239 orang dalam pesawat itu hilang daripada imbasan radar semasa berada di ruang udara Laut China Selatan, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 8 Mac.
Misi pencarian MH370 sekarang tertumpu di kawasan perairan di selatan Lautan Hindi, di barat Perth, Australia.
Menyentuh mengenai DSA 2014, Hishammuddin menyifatkannya sebagai platform utama bagi meningkatkan hubungan dua hala dan memupuk komitmen yang lebih tinggi ke arah pertahanan global.
Beliau menarik perhatian bahawa tempoh Malaysia menjadi Pengerusi Asean adalah serentak dengan kemunculan Masyarakat Ekonomi Asean dan ini adalah sesuatu yang tidak harus dipandang ringan.
Beliau berkata Malaysia berpegang teguh kepada semangat Asean yang berpaksikan rakyat yang inisiatifnya - sama ada sosial, kebudayaan, ekonomi atau pertahanan -- akan merangkumi semua.
"Kami mahu melihat kewujudan Asean yang meletakkan kepelbagaian dan masyarakat Asia Tenggara sebagai terasnya.
Hishammuddin juga menarik perhatian kepada penubuhan Dewan ASEAN dalam kalangan DSA buat kali pertama.
Beliau berkata ini merupakan inisiatif Malaysia sambil berharap bahawa "usaha secara kecilan" ini adalah sebagai menandakan kesinambungan dan kemantapan kerjasama antara negara Asean.
DSA 2014 yang disifatkan sebagai pameran pertahanan terbesar Asia berlangsung mulai esok hingga Khamis ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
#Australia #dron #Hishammuddin #MAS #MH370 #Najib Razak #penerbangan Malaysia #Perth #Tony Abbott
;